Dewi Nur Harasha Alias
Disember 24, 2020
Ramasamy berkata, tiada sebarang rundingan akan dilakukan dengan kerajaan negeri Kedah sekiranya hak air Pulau Pinang tidak dihormati. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian tidak akan membayar walau satu sen atau memberi sumbangan kepada Kedah kerana mengambil air mentah dari Sungai Muda.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy yang menegaskan, tiada sebab untuk negeri itu membayar atau memberi sumbangan kepada Kedah bagi bekalan air mentah.
Justeru, beliau berkata, tiada sebarang rundingan akan dilakukan dengan kerajaan negeri Kedah sekiranya hak air Pulau Pinang tidak dihormati.
"Mengapa Pulau Pinang harus membayar kepada Kedah untuk mengambil air dari sisi Sungai Muda? Perjanjian antara negeri sebelum ini jelas menyatakan Pulau Pinang turut mempunyai hak ke atas air itu.
Lebih-lebih lagi, konsep hak riparian jelas menyokong hak perairan Pulau Pinang untuk diambil dari sisi Sungai Muda dan bukannya Pulau Pinang mengambil air dari Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Riparian membawa maksud hak pemilik tanah yang sah di sisi undang-undang ke atas kawasan tebing sungai.
Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, garis tengah Sungai Muda membatasi sempadan Kedah dan Pulau Pinang dan hak air sungai seperti yang disahkan oleh Perlembagaan membenarkan sesebuah negeri menggunakan air jika sumbernya berada dalam batas.
Katanya, konsep hak riparian jelas menyokong hak perairan Pulau Pinang untuk diambil dari sisi Sungai Muda.
"Terdapat preseden undang-undang dan keputusan pengadilan di masa lalu yang secara jelas menetapkan hak negeri atau negara untuk memiliki bahagian yang sama dari sumber air yang sama,” ujar beliau lagi.
Ramasamy dalam pada itu mempersoalkan tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menuntut caj air mentah dari Pulau Pinang dengan mendakwa beliau tidak mempunyai asas undang-undang atau Perlembagaan.
Pada Rabu, Sanusi menegaskan, kerajaan Kedah tetap mahukan bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang dan bukannya bayaran berbentuk sumbangan daripada kerajaan negeri terbabit.
Sanusi berkata, untuk itu kerajaan negeri berhasrat menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu, namun bersedia berunding dengan kerajaan negeri Pulau Pinang mengenai harga berkenaan.