BELANJAWAN 2021 LULUS TAPI KERAJAAN TETAP DILIHAT LEMAH

 

Meski Belanjawan 2021 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, masih terdapat banyak perkara dan butir-butir di dalam belanjawan yang tidak dihiraukan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Atas sebab ini juga pembangkang sepakat untuk membantah belanjawan tersebut.

Belanjawan itu juga terdapat banyak kelemahan, dan ini telah dibukti dan diperdebatkan secara terperinci di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen.

Belanjawan 2021 mencerminkan betapa kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat.

Semasa perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa, terdapat ramai ahli Parlimen dari pelbagai parti politik yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu mustahak, terutamanya isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kurangnya jala keselamatan melibatkan warga yang tidak punyai simpanan KWSP, peruntukan yang melampau tinggi sebanyak RM40.5 juta kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan tujuan dana tersebut diperuntukkan, apakah ia digunakan untuk tujuan politik dan sebagainya, dan juga peruntukan yang tidak mencukupi kepada para peniaga yang kini sedang terhimpit.

Walaubagaimanapun, oleh kerana kerajaan PN telah mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, maka terdapat sejumlah ahli Parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini, meski belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN.

Adalah dikesalkan juga tatkala terdapat beberapa orang ahli Parlimen yang telah menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu sebelum ini telah mengundi untuk menyokong belanjawan tersebut.

Penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan betapa lemahnya prestasi pengurusan ekonomi negara, dan tahap tatakelola yang membimbangkan.

Kita sedang kembali ke era gelap di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap.

Prestasi dan markah tatakelola Malaysia turut melemah pada tahun ini, seperti yang dilaporkan Bank Dunia, dan dijangka aspek lain seperti indeks rasuah dan kebebasan media akan turut merudum.

Keyakinan daripada para pelabur akan turut terkesan, dan berkemungkinan negara-negara serantau akan meninggalkan kita dalam pelbagai lapangan, terutamanya sektor ekonomi dan pembangunan.

Saat negara sedang memerlukan suatu anjakan baru tentang bagaimana harus kita bangkit dari suasana ekonomi pandemik seperti hari ini, PN telah membuktikan bahawa ia tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan, dan ini telah dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan.

Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan.

ANWAR IBRAHIM, KETUA PEMBANGKANG

15 Disember 2020.