Aswaja komplen alasan tak lantik syarikat Islam jadi platform kutip zakat

 


Aswaja komplen alasan tak lantik syarikat Islam jadi platform kutip zakat

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mempersoal tindakan pusat zakat melantik penyedia sistem e-dagang, Shopee bagi memungut zakat umat Islam.

Presidennya, Zamihan Mat Zin juga turut mempersoalkan peranan sebenar portal e-dagang itu di sebalik proses memungut zakat berkenaan.

Jelasnya, ulama telah sepakat bahawa syarat amil atau ejen kutipan zakat mestilah daripada kalangan orang Islam.

“Jadi, siapa pula yang memiliki Shopee itu atau yang menguruskannya zakat bagi pihak Shopee? Muslim atau musyrik?

“Apa definisi dan peranan sebenar Shopee itu di sebalik proses memungut zakat ini? Amil? Ejen majazi (metafora), orang tengah, pemudah cara, pelayan e-dagang atau hantu zakat?

“Konsep zakat adalah amanah kebajikan Islam. Ia bukannya satu muamalah maliah (urusan perbankan). Jadi ia tidak boleh disamakan dengan dengan urusan jual beli, pajak gadai, sewa, pinjaman, pelaburan atau instrumen kewangan semasa. Qiyas maal fariq (analogi yang salah) kerana ia tiada persamaan dari segi illah (alasan),” katanya.