Melihat kemelut terbaru UMNO, khususnya kenyataan Annuar Musa bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan parti itu jika tanpa ada Bersatu dibawa bersama, jelas memperlihatkan parti terbesar Melayu itu sedang cuba dipesongkan hala tujunya oleh pimpinan dalamannya sendiri.
Yang lebih malang, pemesongan itu dilakukan oleh Annuar yang memegang jawatan kanan sebagai Setiausaha Agung BN merangkap Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional atau MN.
Bukankah sepatutnya sebagai Setiausaha Agung BN, Annuar sepatutnya mempertahankan dasar serta hala tuju BN, bukannya membawa gabungan itu ke arah tunduk kepada Perikatan Nasional atau PN yang sejak awal UMNO dan BN tidak mahu menyertainya?
Dalam temubual semalam, Annuar berkata, UMNO kini tidak lagi ada pilihan untuk bertanding dalam PRU akan datang hanya untuk bersama PAS saja sebagai sekutu seperti rancangan awalnya dahulu.
Ini memandangkan, katanya, PAS bertegas bahawa UMNO mesti turut menjadi rakan sekutu kepada Bersatu.
“Dalam kajian kita, UMNO dan PAS ada kekuatan sendiri dan memang boleh menang dalam PRU akan datang.
“Tapi tanya PAS, adakah PAS boleh menerima idea hanya UMNO dan PAS dan tinggalkan Bersatu?
“Pilihan itu tidak wujud lagi,” katanya sambil menegaskan pendirian tersebut telah dinyatakan oleh Pas dalam mesyuarat MN pada Rabu lalu.
Begitupun, kenyataan Annuar yang memetik pendirian Pas kononnya telah dinyatakan parti itu dalam mesyuarat MN Rabu lalu telah disanggah oleh Ketua Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau menyifatkan dakwaan Setiausaha Agung BN itu bahawa PAS bertegas supaya UMNO mesti turut menjadi rakan sekutu dengan Bersatu sebagai “tidak tepat.”
“Ini kerana keputusan Jawatankuasa Induk Perundingan MN Rabu lepas bersetuju untuk mendaftarkan MN yang melibatkan UMNO dan PAS sebagai dua parti teras mewakili bumiputera, Melayu, Islam.
“Maka, tidak timbul langsung soal PAS beri kata dua tidak mahu kerjasama dengan UMNO jika tanpa Bersatu,” jelas Dr. Asyraf dalam hantaran di media sosialnya
Daripada apa yang dinyatakan Dr. Asyraf ini, jelas memperlihatkan Annuar sebenarnya lebih mahu menyelamatkan Bersatu dan Muhyiddin berbanding menjaga kepentingan BN yang didalamnya UMNO adalah merupakan tonggak utamanya.
Annuar juga seolah-olah menjadi jurucakap Pas untuk menekan UMNO dan memberi kelebihan kepada Bersatu, walhal Pas tidak pernah pun meluahkannya secara nyata bahawa ia mahu Bersatu dibawa bersama dalam kerjasama mereka.
Begitukah peranan seorang Setiausaha Agung BN?
Gambaran Annuar bahawa UMNO adalah parti yang kalah ketika ini sebagai asas untuk merasionalkan perlunya ia bertolak ansur juga langsung tidak tepat.
Yang jelas, bukan saja UMNO parti yang kalah, bahkan Bersatu dan Pas juga adalah kelompok yang kalah.
Lebih buruk, Bersatu bukan setakat kalah banyak kerusi dalam PRU14 lalu, bahkan hanya menang 13 kerusi Parlimen saja.
Berbeza dengan UMNO dan BN, walaupun ia kalah, tetapi jumlah kerusi yang dimilikinya jauh lebih besar daripada Bersatu.
Selebihnya, berjayanya Muhyiddin menjadi Perdana Menteri melalui PN adalah melalui jalan pengkhianatan, tidak saja kepada PH, tetapi juga kepada Bersatu dan Tun Mahathir Mohamad.
Untuk itu, demi masa depan UMNO, adalah berbahaya sebenarnya jika mereka tidak segera memisahkan diri daripada Bersatu yang didalamnya sekarang terdapat berbagai jenis pengkhianatan.
Pendirian awal UMNO dan BN sebelum ini tidak mahu menyertai PN dan hanya bersama dalam kerajaan sehingga ketibaan tarikh PRU15 saja adalah sesuatu yang tepat demi keunggulan dan kelangsungannya sebagai parti terbesar orang-orang Melayu.
Sebaliknya, bersama dengan Bersatu bukan saja akan menjadikan UMNO tenggelam dan ditelan parti kecil bernafsu besar itu, malah akan menjadikan UMNO terus dibuli dan mungkin dijadikan sejarah tidak lama lagi.
Apa yang harus dilakukan sekarang?
Sebelum terlambat dan sebelum kudis bernanah yang membuatkan luka tidak boleh disembuhkan lagi, BN khususnya Ahmad Zahid Hamidi selaku pengerusi gabungan itu harus cepat-cepat melantik Setiausaha Agung baru bagi menggantikan Annuar.
Harus dilantik seorang Setiausaha Agung baru yang benar-benar mempertahankan UMNO dan BN, bukan seseorang yang berkiblat kepada Bersatu yang mahu menelan UMNO.
(Shahbudindotcom 21/11/2020)