Rakyat papa, tidak wajar gaji ADUN kelantan hingga RM12,000
Kenaikan gaji pokok di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan kepada Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang diluluskan baru-baru ini dalam sidang DUN dianggap tidak wajar ketika rakyat negeri itu masih dibelit kemiskinan dan masalah air bersih yang gagal diselesaikan.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, ADUN Kelantan tidak perlu diberi kenaikan gaji atau elaun kerana mereka sudah menikmati kenaikan sehingga RM8,000 sebulan selepas tahun 2015.
“Bagi saya tidak wajar kenaikan ini berlaku lagi. Namun kita tidak hairan mengapa kenaikan ini terjadi kerana kita lihat jelas mereka (pimpinan Pas) bermewah-mewah, beli Mercedez dan sebagainya. Ini adalah sikap atau perangai sebenar pimpinan Pas sekarang ini.
“Mahathir (bekas Perdana Menteri) bagi royalti Kelantan (RM400 juta) begitu banyak sebelum ini dan ini menggalakkan pimpinan Pas berbelanja mewah.
“Sebenarnya mereka tidak tahu menguruskan kewangan dengan baik, yang mereka tahu adalah bermewah. Mereka tak tahu nak gunakan wang untuk apa, dia gunakan untuk naikkan elaun,” sinis Azan.
Menurut Azan lagi, sikap pimpinan Pas Kelantan yang mengejar laba dunia amat jauh berbeza dengan kepimpinan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Tidak seperti pemerintahan di bawah Tok Guru rakyat diutamakan, katanya, pemerintahan Pas sekarang memberi gambaran seolah-olah Kelantan negeri kaya-raya sehingga gaji ADUNnya mengatasi gaji Ahli Dewan Selangor sekitar RM11,000 sebulan.
“Saya hairan mereka tidak berasa malu dengan rakyat Kelantan dan masih berbelanja tanpa rasa segan. Ramai orang mempertikaikan tetapi mereka tak ambil pandangan orang lain dan keperluan rakyat.
“Pemerintahan sekarang umpama langit dengan bumi jika dibandingkan dengan pentadbiran Allahyarham Nik Aziz yang selama ini dilabel zuhud kerana tidak pernah bermewah-mewah untuk diri sendiri dan lebih pentingkan rakyat serta negerinya,” kata Azan ketika dihubungi Suara Keadilan.
Rakyat Kelantan sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati dengan menaikkan banyak kecaman di media sosial mengenai kualiti air bersih di negeri itu yang keruh dan tidak diyakini kebersihannya.
Menurut mereka kegagalan menyediakan air bersih tidak melayakkan para ADUN menikmati kenaikan gaji.