PN hadapi Undi Belah Bahagi perbahasan Bajet 2021 seterusnya – Anwar
Kelulusan Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa atau undian perbelanjaan kementerian tidak akan diberi laluan mudah sebagaimana pengundian pusingan pertama pada petang semalam.
Amaran itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di lobi Dewan Rakyat.
Menurut Anwar, isu mengapa Pakatan Harapan (PH) tidak bertindak meminta Undi Belah Bahagi telah disuarakan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan juga Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Katanya, beliau minta mereka bersetuju setelah melihat Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi respons yang positif terhadap isu-isu kebajikan rakyat dan cuba menambah jumlah peruntukan.
“Tetapi kita menolak belanjawan ini dari segi prinsipnya. Unjuran pendapatan tidak realistik, itu tidak dijawab. Bila disebutkan kelulusan-kelulusan projek, ini sebahagiannya tidak tuntas seperti peruntukan lebih kepada barisan hadapan, kemudahan kepada pasukan keselamatan juga bantuan kepada rakyat miskin seperti petani, nelayan dan sebagainya.
“Zafrul juga tidak hiraukan permintaan peruntukan kepada masyarakat bukan Melayu yang disuarakan dengan kuat, ini langsung diketepikan.
“Bagaimanapun perbahasan teliti nanti adalah pada Peringkat Jawatankuasa bermula hari Isnin. Kita telah mengambil keputusan untuk meminta belah bahagi seandainya di beberapa kementerian bercanggah dengan pendirian kita (berlaku pembaziran dan sebagainya).
“Pertimbangan kita ialah memastikan projek pro-rakyat, petani, nelayan, pekebun kecil, penganggur dan pekerja kilang ditingkatkan,” katanya dipetik.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menegaskan keputusan untuk tidak menolak belanjawan turut dipengaruhi sentimen rakyat yang risau andainya belanjawan tidak diluluskan maka perkhidmatan awam tidak akan dibayar gaji.
“Kita tidak mahu ganggu peringkat awal, untuk beri gambaran gaji, emolumen barisan hadapan tidak akan terjejas. Kerana ada persepsi yang agak kurang tepat di kalangan rakyat, kalau kita tolak mutlak ia akan menyebabkan terjejas gaji penjawat awam, elaun barisan hadapan juga kemudahan lain seperti bantuan-bantuan rakyat dan sebagainya.
“Minggu depan kita akan bertarung dengan lebih sengit,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan rasa tidak berpuas hati dengan penjelasan Tengku Zafrul yang longgar mengenai pertambahan peruntukan dalam belanjawan tanpa menyebut angka sebenar secara keseluruhan
Beliau mempersoalkan, mana mungkin dengan pertambahan peruntukan kementerian maka jumlah besar belanjawan tidak berubah. Jangkaan pendapatan kerajaan yang begitu tinggi juga diragui ketika pertumbuhan ekonomi negatif ekoran pandemik Covid 19
“Tengku Zafrul gagal memberi penjelasan. Dia umum (pindaan peruntukan) tetapi gagal memberi angka keseluruhan belanjawan. Seolah-olah tidak ada kesan. Ini tidak benar. Menteri Kewangan harus memberi penjelasan kerana unjuran perbelanjaan itu tentulah tersasar. Ini pandangan kita.
“Pendapatan kerajaan yang begitu tinggi melebihi 2019 juga tidak dikira realistik. Yang kita bantah soal asas, pengurusan kerajaan, penyelewengan, peruntukan agenda politik, itu kita tekankan. Keputusan kecil tambahan peruntukan kita tidak bantah. Dan akan difahami oleh rakyat apabila kita kupas satu persatu dalam jawatankuasa peringkat kementerian,” katanya.
Selain itu, Anwar turut kecewa apabila Tengku Zafrul menyatakan pindaan belanjawan itu dibuat selepas berunding bersama pembangkang, sedangkan pembangkang hanya dibawa berbincang sekali dan sebahagian besar daripada 6 tuntutan yang dikemukakan tidak dimasukkan dalam pindaan.
Kepada penyokong kerajaan Perikatan Nasional, Anwar berkata masih terlalu awal untuk mereka meraikan kemenangan sedangkan perbahasan Belanjawan 2021 masih panjang.
“Belanjawan baru pusingan pertama. Ada bacaan pertama, kemudian peringkat jawatankuasa, kemudian bacaan ketiga untuk betul-betul luluskan.
“Jadi masih terlalu awal untuk mereka merayakan dengan berlebihan. Kita bukan nak fikirkan soal kemenangan politik tetapi kemenangan rakyat dan kebajikan rakyat,” katanya lagi.