Pembangkang perbaiki prestasi menerusi Kaukus Reformasi

 

Tiga ahli parlimen KEADILAN mengakui arahan yang dikeluarkan oleh pimpinan pembangkang bagi meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 amat mengecewakan banyak pihak.

Pengakuan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

"Kami sudahpun bersedia untuk menolak Belanjawan tersebut sehinggalah arahan di minit akhir yang mengikat ahli parlimen KEADILAN mengikut kepatuhan disiplin parti.

"Pun demikian, para penyokong kami dengan jelas menyuarakan keperluan membulat tekad dan Istiqamah dalam mempertahan kebajikan, kepentingan rakyat dan negara. Jelas bahawa selaku wakil rakyat pembangkang yang bertanggungjawab, kepercayaan rakyat bukan sahaja harus dihormati tetapi dilunaskan menerusi tindakan sewajarnya," katanya.

Justeru, mereka berjanji pembangkang akan memperbaiki prestasi di masa akan datang.

"Ahli Parlimen telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili kepentingan mereka; dan sepanjang menggalas tanggungjawab, jelas bahawa kami tidak sempurna; tetapi perlu terus berusaha memenuhi harapan ramai. Oleh itu, izinkan kami berusaha memperbaiki prestasi menerusi pembentukan kaukus ini.

"Setelah merenung peristiwa Belanjawan, kami telah memutuskan untuk bersama-sama memperjuangkan dan menekuni perincian dasar alternatif yang bertumpu kepada peranan kami selaku wakil-wakil rakyat dari pihak pembangkang," katanya.

Dalam kenyataan, ketiga-tiga ahli parlimen itu menganggap Belanjawan 2021 gagal menyediakan jaring keselamatan sosial yang mencukupi untuk warga pekerja di Malaysia.

"Dengan hanya bertumpu kepada langkah populis gesaan ramai ahli politik berkisar pengeluaran awal KWSP, kerajaan hanya memudahkan laluan penabung menggunakan dana simpanan masa depan, bukannya melakukan sedaya upaya untuk membantu rakyat menabung.

"Sebanyak 43% daripada senarai pencarum di bawah umur 55 tahun, mempunyai simpanan kurang daripada RM 10 ribu melalui Akaun 1. Dengan simpanan yang tidak bertambah, pihak Kerajaan lebih rela membiarkan rakyat menikmati kehidupan persaraan dengan pendapatan yang tidak lebih daripada RM 41 sebulan selama dua puluh tahun yang mendatang. Sebaiknya kerajaan dahulukan dana, selamatkan simpanan rakyat.

"Terdapat juga kekurangan fokus kepada penjanaan peluang pekerjaan yang kalis masa depan, termasuk kalis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi berikutnya. Keadaan ekonomi dijangka bertambah buruk menjelang 2021," katanya.

Belanjawan itu juga disifatkan hanya menabur janji-janji melalui hasil pendapatan dan memotong sebegitu banyak kemudahan penting yang pastinya tidak memenuhi keperluan rakyat.