Mana pergi rizab Selangor RM3.3 bilion waktu MB Tan Sri Khalid?

 





Selangor pernah mencacat negeri yang memiliki rizab kewangan tertinggi pada hujung era Menteri Besar (MB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 

Menurut Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi, rizab ketika itu mencecah RM3.3 bilion. Namun katanya, selepas beberapa tahun, ketika MB semasa Datuk Seri Amirudin Shari mengambilalih jawatan daripada Azmin Ali, rizab didapati merosot kepada RM2.4 bilion.

 

Oleh itu, Najwan mahu satu kajian dibuat mengenai punca penyusutan rizab yang begitu besar berkenaan.

 

"Kita masih ingat pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid telah meninggalkan sejumlah lebih RM3.3 bilion rizab negeri. Waktu itu, Selangor sangat berbangga menjadi negeri yang bukan sahaja terkaya, tetapi mempunyai rizab terbesar.

 

"Sudah menjadi perbualan di luar sana apabila rizab negeri kini hanya dianggar sekitar RM2.4 bilion sahaja. Maknanya berkurangan hampir RM1 bilion dari jumlah yang diwariskan oleh pentadbiran Tan Sri Khalid.

 

"Ketika Yang Amat Berhormat Sungai Tua mengambil-alih jawatan Datuk Menteri Besar, rizab negeri juga difahamkan berada di bawah RM2 bilion, yakni sekitar RM1.8 bilion sahaja.

 

"Saya percaya sudah sampai masanya Kerajaan Negeri memberi penjelasan bagaimana sejumlah lebih RM1 bilion telah berkurangan sebelum Yang Amat Berhormat Sungai Tua mengambilalih jawatan Menteri Besar," katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021.

 

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor itu berkata, pencerahan berhubung perkara itu pastinya akan menjernihkan kekaburan yang selama ini wujud dan menjadi perbualan dalam kalangan rakyat Selangor.