KENAPA EKONOMI MALAYSIA SEMAKIN MURAM?

 

ZAMZURI ARDANI

Pastinya ada banyak punca. Sesuatu malapetaka besar itu biasanya adalah gabungan dari beberapa faktor utama. Faktor-faktor yang pelbagai ini bercantum pada waktu dan ketika yang tertentu menyebabkan 'perfect storm' melanda.

Pemikiran feudal adalah salah satu punca besar. Pemikiran feudal tidak semestinya wujud hanya dalam sistem feudal. Beberapa negara Eropah masih mengekalkan sistem beraja, tetapi rakyatnya tidak berfikiran feudal. Beberapa negara Arab seperti Mesir dan Yaman tidak punya raja, tetapi rakyatnya masih berfikiran feudal.

Asas kepada pemikiran feudal ialah terlalu mengagungkan tokoh pemimpin. Akhirnya kita mempunyai pemimpin yang tidak tahu waktu untuk bersara. Sudah hampir setengah abad berada di pentas politik, masih tidak tahu berundur. Bukan seorang. Bukan dua orang. Tapi sebahagian besarnya begitu. Kebanyakan pemimpin utama politik negara di negara kita adalah tokoh-tokoh usang yang tidak mampu lagi menggarap cabaran dunia baru. Kita tidak punya inovasi. Tidak punya dinamisma. Tidak progresif. Isu-isu besar dalam wacana politik kita hanya berkisar dengan isu yang sama berdekad-dekad lamanya.

Antara punca besar juga ialah menjadikan bangsa dan agama sebagai komoditi politik kuasa. Kita gadaikan kejujuran, ketelusan, integriti, urustadbir yang baik, kompetensi, dan nilai demokrasi kononnya untuk pertahankan bangsa dan agama. Padahal kita telah menjual bangsa dan agama itu dengan pembohongan, kecurangan, salahlaku, dan kezaliman.

Masyarakat Eropah dulu tidak menolak peranan agama dalam tatacara kenegaraan tanpa sebab. Mereka ada sebab yang kuat. Mereka sedar, selama ratusan tahun masyarakat Eropah tertipu dengan lakonan para bangsawan dan agamawan di kalangan mereka sehingga mereka hidup di zaman gelap begitu lama.

Kalau kita sayang bangsa dan agama kita, jangan biarkan ianya dijadikan komoditi politik kuasa. Kelak nanti, kita akan mengulangi kebodohan masyarakat Eropah selama ratusan tahun.

Akibat menjadikan bangsa dan agama sebagai komoditi tawar menawar politik kuasa, kita menghancurkan potensi kebangunan rakyat secara bersepadu. Kita jadi 'over-protective', tidak kompetetif. Kita jadi manja. Kita tidak resilien.

Antara faktor besar juga adalah kegagalan sistem pendidikan nasional yang usang. Kita ada sekolah yang bagus. Ramai guru yang cemerlang. Ibubapa yang tinggi semangatnya. Tetapi, semua itu beroperasi dalam sistem pendidikan yang sudah usang. Sistem pendidikan kita melahirkan pekerja, bukan inovator atau pencipta ekonomi baharu. Seorang rakan saya dari luar negara pernah berkata kepada saya, "Kalau Bill Gates lahir di Malaysia, dia tidak akan mampu mengasaskan Microsoft".

Wacana ilmiah kita sangat kurang berbanding jiran tetangga kita seperti Indonesia, Thailand, Filipina, dan Singapura. Buku-buku yang dihasilkan oleh sarjana kita juga sangat kurang dan kualitinya tidak begitu membanggakan.

Sistem kewangan dan perbankan kita juga sangat konservatif. Amat sukar untuk mendapat pembiayaan bagi inisiatif perniagaan yang berisiko tinggi yang boleh membawa pulangan yang besar dari sudut jangka panjang. Pembiayaan untuk inisiatif penyelidakan dan pembangunan sangat terhad.

Kita sebenarnya masih terperangkap dalam kerangka politik, pemikiran, dan sistem kenegaraan yang usang.

Samada kita mahu keluar dan terus berada di situ. Kalau kita mahu keluar dari kepompong ini, saya mengharapkan tokoh-tokoh politik yang sudah lama beraksi itu berundurlah. Tidak kita dari kelompok dan blok politik mana sekali pun. Anda telah gagal sebenarnya. Kita kalah dengan Jepun. Kalah dengan Korea. Kalah dengan Thailand. Kalah dengan Singapura. Malah Vietnam dan Indonesia sudah mula memintas kita. Kalau itu bukan kegagalan, apa lagi?

Kita serahkanlah kepada pemimpin generasi baru. Percayalah, mereka lebih berani dan bijak dari kita.