AMANAH KUKUH BERSAMA PH
1. Parti Amanah Negara (AMANAH) menyedari wujudnya kekeliruan di
kalangan masyarakat umum dan juga ahli-ahlinya berhubung dengan apa yang telah
berlaku di Dewan Rakyat semasa pengundian Belanjawan di peringkat dasar
dijalankan. Kelihatan seolah-olah ada perbezaan dan perbalahan di antara
pimpinan AMANAH apabila sebahagian duduk dan sebahagian yang lain bangun
meminta undi belah bahagi dilakukan.
2. Keadaan yang mengelirukan terhasil apabila keputusan berubah
di saat terakhir tanpa perbincangan dan penjelasan kepada semua Ahli Parlimen
PH. Ini menyebabkan sebahagian Ahli Parlimen AMANAH terus berpegang kepada
keputusan asal, yang dianggap keputusan yang rasmi memandangkan ianya telah
dibahas dan diputuskan bersama dalam mesyuarat Majlis Presiden. Pada masa yang
sama sebahagian yang lain berpegang kepada keputusan baharu seperti yang
dicadangkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
3. Sebahagian pimpinan, seramai 5 orang termasuk Presiden dan
Timbalan Presiden, berpegang kepada keputusan baharu kerana ingin menjamin
keutuhan dan kesatuan PH. Pimpinan Nasional AMANAH sentiasa menegaskan bahawa
keutuhan dan kesatuan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang amat penting untuk
diusaha dan dipertahankan setiap pemimpin. Oleh itu, keputusan untuk menjamin
keutuhan dan kesatuan Pakatan Harapan dengan akur kepada keputusan Pengerusi PH
pada hari tersebut adalah selari dengan kehendak parti.
4. Pada masa yang sama, sebahagian pimpinan lain, ia itu seramai
6 Ahli Parlimen, yang bangun meminta belah bahagi juga turut berusaha memenuhi
kehendak parti AMANAH dan keputusan Majlis Presiden PH. Sepertimana yang
diketahui, pengundian ke atas belanjawan begitu ditunggu-tunggukan seluruh
rakyat dan AMANAH telah berjanji untuk melakukannya sehingga ke tahap belah
bahagi. Oleh itu tindakan sebahagian pimpinan ini turut dilihat betul juga dan
selari dengan aspirasi pimpinan dan ahli AMANAH.
5. Pada hakikatnya semua pimpinan AMANAH menolak belanjawan yang
telah dibentangkan. Perbezaannya adalah samada melakukan belah-bahagi atau
tidak. Dan perbezaan ini hanya timbul pada saat terakhir hasil cadangan
Pengerusi PH.
6. Oleh itu boleh dirumuskan bahawa tidak wujud perbezaan atau
perpecahan di kalangan pimpinan AMANAH. Situasi yang mencabar ini boleh
digambarkan melalui pepatah Melayu “ditelan mati emak, diluah mati bapa” telah
menghasilkan tindakan berbeza yang pada hakikatnya kedua-duanya betul. Kita
tidak berpeluang untuk berbincang dan berbahas untuk menentukan mana satu di
antara dua pilihan betul ini adalah yang lebih betul. Namun kita yakin kedua-dua
kumpulan telah bertindak mengikut pertimbang mereka masing-masing dengan
mengharapkan yang terbaik bagi AMANAH dan PH.
7. AMANAH memahami ramai kecewa dengan apa yang telah berlaku.
Namun kekecewaan ini akan menjadi lebih parah sekiranya ianya menggugat
kesatuan dan perpaduan dalam AMANAH serta antara AMANAH dan PH. Ianya
sewajarnya dijadikan sebagai pengajaran untuk kita terus maju ke hadapan,
bersama dalam keadaan yang bertambah kukuh.
8. Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah agar segala keputusan
yang telah dan bakal dibuat mendapat bimbingan Nya dan akan menambahbaik parti
sambil mengukuhkan lagi kedudukan PH. Marilah kita merapatkan saff dan
membaharui iltizam untuk membawa kemenangan dan kebaikan bagi AMANAH dan PH.
Apa yang berlaku pada 26hb November tidak menjejaskan langsung
komitmen kami untuk menolak kerajaan PN bawah TSMY yang tetap dianggap sebagai
kerajaan pintu belakang yang tidak memiliki mandat sah dari rakyat.
KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi Amanah
Pada 28 November 2020.