Enam bulan berlalu, pesuruhjaya tinggi ke Singapura gagal dilantik
Kekosongan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura sejak 6 bulan lalu merupakan kelemahan ‘menjolok mata’ kerajaan Perikatan Nasional khususnya Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, ketiadaan pesuruhjaya tinggi itu menyukarkan urusan melibatkan pekerja Malaysia di Singapura yang berjumlah sekitar 200,000 orang.
“Saya minta Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishammudddin Hussein segera melantik Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.
“Enam bulan kekosongan jawatan itu terlalu lama. Beratus ribu rakyat Malaysia bekerja di Singapura,” ciapnya di Twetter.
Sebelum ini, pelbagai masalah dialami oleh rakyat Malaysia yang bekerja di ‘sebarang tambak’ apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan tanpa memikirkan nasib mereka.
Para pekerja itu tidak dibenarkan pulang selama tiga bulan sejak Mac 2020.
Sementara penyelesaian dokumen perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) hanya diperkenalkan baru-baru ini.
Namun terdapat pula masalah yang belum diselesaikan, berhubung pekerja Malaysia yang memegang status penduduk tetap (PR) di Singapura.
Mereka tidak dibenarkan berulang-alik. Untuk menziarahi keluarga pemegang PR terpaksa menjalani kuarantin 2 minggu di Malaysia dan seminggu di Singapura yang menyebabkan seseorang perlu memohon cuti selama sebulan sekiranya mahu melawat keluarga.
Semua hal itu perlu diselesaikan melalui rundingan dua hala namun langkah pertama kerajaan PN perlulah melantik seorang pesuruhjaya tinggi terlebih dahulu untuk memudahkan rundingan.