Ekonomi Malaysia meleset, pengangguran cecah 1 juta
Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayangkan kemerosotan ekonomi yang melanda Malaysia mungkin menjadi yang terburuk dalam sejarah.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas sesi bertemu Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan, Putrajaya petang semalam.
“Hari ini kita katakan secara terus terang selama dua jam, yang mana kami menegaskan perlunya ada satu ‘Belanjawan Perpaduan’ berteraskan perbelanjaan tambahan.
“Ini kerana unjuran pertumbuhan (KDNK) adalah – 5% pada tahun ini. Beliau (Menteri Kewangan) pun sebut defisit sebanyak 6%.
“Pada masa sama, Menteri Sumber Manusia menyatakan jumlah penganggur telah mencecah 1 juta orang. Kalau kita ambil kira sektor tidak rasmi, seperti mereka yang bekerja sebagai pemandu Grab dan sebagainya ia mungkin melebihi 1 juta penganggur.
“Ini kemelesetan ekonomiyang tidak pernah dihadapi Malaysia sebelum ini. Oleh sebab itu Belanjawan 2021 adalah amat penting dan kritikal untuk merangka masa depan ekonomi kita. Sama ada boleh diselamatkan atau tidak. Oleh itu kita kena tambah perbelanjaan. Kalau wang tak cukup harus pinjam,” katanya dipetik.
Justeru, menurut Lim, Pakatan Harapan mencadangkan 6 syor yang perlu diterima oleh Kementerian Kewangan untuk manfaat rakyat.
Katanya, tidak ada guna perjumpaan pembangkang dan kerajaan semalam sekiranya syor yang diutarakan itu ditolak.
“Enam langkah kami syorkan untuk membantu rakyat. Misalnya morotarium pinjaman bank, tambah bantuan kebajikan penganggur RM1000 setahun. Mewujudkan peluang pekerjaan untuk 600,000 orang dan memberi insentif gaji RM200 kepada pekerja-pekerja pada setiap bulan.
“Insentif kepada majikan sebanyak RM300 sebulan agar mereka mengambil pekerja tempatan selama 2 tahun. Ini peru untuk menyelamatkan perniagaan dan mata pencarian serta masa depan rakyat.
“Kita harap semua cadangan ini diambil kira, kalau tidak apa maknanya (pertemuan)? Kita tak mahu datang sini, bagi syor lepas itu tiada apa-apa. Kita harap ia boleh diterima pakai demi manfaat rakyat Malaysia,” katanya lagi..