DEMI MARUAH, BERPISAH DENGAN BERSATU PILIHAN TERBAIK BUAT UMNO

 


Matematik mudahnya begini – UMNO ada 3.4 juta ahli, Pas ada lebih 1 juta ahli dan Bersatu hanya ada sekitar 200 ribu ahli.

Kalau ditanya kepada sesiapa, waima budak kecil sekali pun tentang siapa yang harus jadi ketua di antara tiga parti itu, jawapannya tidaklah sukar untuk diketahui.

Dengan itu, saranan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar parti itu mengkaji semula hubungan kerjasamanya dengan UMNO dan Pas bukanlah sesuatu yang pelik dan luar biasa.

Hubungan kerjasama sekarang, menurut Tengku Razaleigh tidak memberi sebarang manfaat kepada UMNO.

“Apa untung kita (UMNO) dengan parti Bersatu? Apa untung kita berpakat dengan PAS?

“Matlamat mereka seakan sama, akhirnya kita bergaduh pula.

“Konflik yang bakal berlaku tak baik untuk rakyat dan negara. Baiklah kita fikir masak-masak.

“Saya rasa elok kita kaji semula,” katanya seperti dipetik dalam wawancara sebuah portal berita.

Pemimpin veteran UMNO yang dikenali sebagai Ku Li turut berkata, dari segi pengagihan kerusi, parti itu perlu bertegas untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu tanpa bertolak ansur dengan Bersatu.

“Mana kerusi kita dulu kita kekal, tidak ada nak runding-runding lagi. Apa nak runding, kerusi kita,” katanya.

Ku Li juga berkata UMNO perlu merampas semula kerusi Parlimen Pagoh (Muhyiddin Yassin) dan Langkawi (Dr Mahathir Mohamad).

“Itu bukan sesiapa punya. Kerusi itu bukan baru wujud… baru menjelma, tapi kesilapan kempen dulu kita kalah.

“Sebelum ini kita tak pernah kalah, baik di Langkawi atau Pagoh,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Gua Musang itu menyifatkan pemimpin UMNO yang lebih memihak kepada Presiden Bersatu sebagai pengkhianat yang tidak boleh dimaafkan kesalahannya.

“Ramai yang memihak kepada Muhyiddin adalah mereka yang terdiri daripada pengkhianat… orang yang lari daripada kita, yang ada kes, yang kita rasa tak boleh dimaaf. Mereka berada bersama Muhyiddin.

“Kita rasa tak sepatutnya kita berada dalam perkongsian ini, walaupun untuk berkuasa di negara,” tegas Ku Li.

Senang cerita, demi mengembalikan maruah UMNO sebagai parti terbesar, ahli teramai dan memiliki jumlah Ahli Parlimen terbanyak di Dewan Rakyat, parti itu tidak ada pilihan lain selain kembali kepada kekuatan sendiri untuk menghadapi PRU15 akan datang.

UMNO perlu mengumpul kembali kekuatannya bersama rakan komponen sedia ada dalam BN dan berusaha sedaya mungkin untuk kembali berkuasa tanpa bergantung kepada pihak luar.

Berdasarkan banyak kelebihan yang ada, cuma perlu penambahbaikan dalam beberapa aspek, UMNO sebenarnya mampu untuk tampil lebih gagah selepas tragedi kekalahan pada 2018 lalu.

Yang penting usaha, kerja keras dan iltizam yang tinggi untuk kembali berkuasa mesti sentiasa membara.

Bergantung atau bekerjasama dengan Pas dan Bersatu bukanlah pilihan yang baik, selain kerana terpaksa berkongsi kerusi, yang lebih buruk lagi ialah kerana Bersatu yang kecil dan serpihan itu hanya mahu “membunuh” UMNO saja matlamat utamanya.

Tanpa “membunuh” UMNO atau selagi UMNO ada,!Bersatu tidak mungkin mampu memanjangkan hayat politiknya

UMNO bukan saja mesti memimpin, tidak dipimpin, malah UMNO juga tidak sepatutnya memberi sebarang ruang kepada Bersatu untuk menguasai atau melebihinya.

Tetapi, semuanya hanya mungkin menjadi kenyataan jika kata-kata Ku Li ini dijadikan azimat perjuangan oleh semua peringkat kepimpinan dalam UMNO itu sendiri.

Jangan sesekali dibiarkan pengkhianat dalam parti dipergunakan oleh Bersatu untuk “mematikan” UMNO.

Kalau tidak, UMNO hanya akan tinggal sejarah dan nama saja selepas ini.

 

(Shahbudindotcom 17/11/2020)