Binatang di zoo mengumpat kerajaan

 

Zoo Negara hanya memerlukan RM1 juta setiap bulan. Pun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata Zoo Negara tidak sepatutnya bergantung kepada kerajaan semata untuk pendanaan.

Di dalam kebun binatang (atau zoo) itu, manusia mengurung segala macam haiwan untuk tontonan dan pertunjukan. Kita manusia, yang ada akal yang meletakkan mereka, binatang tanpa akal di situ. Di dalam zoo itu yang duduk di dalam sangkar menanti suapan adalah haiwan, ia adalah binatang. Mereka bukan manusia yang boleh mencari dana RM1 juta secara bulanan untuk mengatasi perut kelaparan dan naluri kebulur makan. Adakah kerajaan ini sepenuhnya kerajaan gagal?

Baik dengan manusia mahupun dengan haiwan? Untuk itu saya tidak ada cara lain, saya terpaksa bercakap dengan beberapa ekor haiwan di dalam taman haiwan NEGARA. Untuk memberi saya ilham cara mengatasi kemelut ini. Zoo Negara. Ada kata NEGARA di belakang kata zoo, tidak ada nama Ebit Lew di belakangnya. Ia bukan Zoo Ebit. Tapi Zoo Negara.

Jadi beberapa hari lalu, saya memang mengajak beberapa ekor haiwan mengumpatkan kerajaan yang sedia ada hari ini. Saya mulai dengan memerang. Saya anggap diri saya sebagai tukang dengar cerita seperti dalam prosa tradisional Pelanduk Mengajar Memerang yang dibaca dalam teks pelajar Tingkatan 2 (yang sudah lama tidak ke sekolah oleh perangai jahanam segelintir tidak kuarantin seraya menyebarkan virus).

Saya pun bertanya kepada memerang, “Sudah dengar cerita yang kerajaan hari ini berlepas tangan untuk beri kalian makan?”

Apa jawab memerang? Apa kata memerang betina itu?

Memerang menyahut, “Den ada satu nasihat kepada Shamsul Anuar bin Nasarah, mungkin elok dilepaskan saja kami binatang ini dari Zoo Negara. Kau lepaskan den, lepaskan kami semua. Bukan, bukan dilepaskan untuk diisi di dalam Dewan Rakyat agar penggubal undang-undang dalam Malaysia boleh menggunakan otak untuk berfikir.”

“Kau lepaskan kami haiwan-haiwan ini di hutan. Untuk yang bukan habitatnya di Malaysia, hantarkan ke negara yang boleh menerima kami. Kalian lakukan seperti kalian lakukan tanpa segan silu kepada Rohingya di atas bot di tengah lautan, menagihkan ihsan. Kalau kalian tergamak buat kepada manusia seperti Rohingya, tentu kalian sanggup melakukannya kepada haiwan. Lagipun kalau sudah biasa mengkhianat manusia dan rakyat, tentu tak ada rasa bersalah apa untuk menzalimi binatang dan haiwan.”

Seekor babi binatang maserba mencelah perbualan saya dan memerang; “Saban hari kamu manusia sibuk berbincang mengenai urusan siasah manusia. Namun, adakah manusia memberi hak dan urusan kami binatang? Ini memandangkan manusia adalah binatang politik, tetapi binatang tidak pernah mengerti – politik binatang manusia.”

Danai haiwan atau tutup zoo

Saya tidak dapat membayangkan betapa gagalnya sebuah kerajaan yang ditegur babi. Kata babi dia bernasib baik kerana boleh menyodok sampah dan menyungkur bangkai. Namun bayangkan petaka menimpa rimau, singa, gajah, atau zirafah.

Seekor ular sawa yang tampak kering kecut memberitahu saya, “Beginilah, Islam memberi hak-hak haiwan secara nyata, dan tiada kesamaran lagi. Janganlah buat-buat tak reti apatah lagi lupa. Allah memberi hak saksama antara manusia dengan binatang. Dalam Al-Quran ada surah dedikasi untuk binatang ternakan. Dalam ayat 38 surah Al-An’am Allah berfirman, terjemahannya berbunyi: ‘Dan tiadalah binatang-binatang yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya melainkan umat-umat juga seperti kamu. Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam al-Kitab, kemudian kepada Tuhanlah mereka dihimpunkan’.”

Saya dan anda bukan Nabi Sulaiman, tetapi kita semua cukup mengerti binatang juga ada tabiat sendiri. Binatang juga berkahwin, mengawan, ada benda tak disukai, boleh merasa kesakitan, bingung bengang, takut, kesunyian, kebosanan, ada benda disukai, dan juga…cinta. Burung boleh berterbangan, ikan boleh berenang, unta tercipta supaya kita manusia memikirkan keajaibannya dan lebah-lebah menciptakan sarang, sedang semut-semut berbicara sesama mereka.

Lama sebelum bidang entomologi mengesahkan yang semut saling berkomunikasi, Al-Quran menghuraikan betapa semut saling mengingatkan dalam kisah Nabi Sulaiman. Binatang juga ada hak dalam alam semesta ini maka ada banyak surah dalam Al-Quran diberikan nama haiwan, sebagai satu penghormatan kepada binatang. Antara yang mendapat kelebihan dirakam namanya dalam Al-Quran ialah sapi, binatang ternakan, lebah, semut, labah-labah, dan yang paling gemuk lagi besar ialah gajah. Kontrak sosial manusia dengan haiwan serta mergastua mestilah dilihat semula.

Asasnya ialah Allah sebagai Tuhan Maha Kuasa, asasnya itu sudah dimeterai Tuhan.

Inilah sebuah kerajaan yang mengecewakan manusia dan haiwan. Sungguh menggamamkan, tidak pernah ada ijmak antara manusia dan binatang tentang sebuah pentadbiran sedemikian buntu dan bodoh. Demikian bodoh sehingga seekor landak menjelaskan kepada saya, “Jika kamu manusia pandai mengurung kami di dalam kebun binatang ini maka kamu bertanggungjawab ke atas kami.”

Saya malu, saya malu apabila Puan Landak menegur saya dan membacakan ayat 60 dari surah Al-Ankabut, terjemahannya berbunyi: “Dan berapa banyak binatang yang tidak dapat membawa atau mengurus rezekinya sendiri. Allah-lah yang Memberi Rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Saya tidak tahu mana harus diletakkan muka ini tatkala seekor kongkang jantan dengan penuh pasrah mengatakan kepada saya; “Bro, takkan bro tak pernah mendengar kisah kaum Tsamud? Kita tak boleh lupakan kisah kaum Tsamud yang menafikan hak haiwan sehingga Allah azabkan mereka. Kisah Nabi Saleh dan masyarakat jahil Tsamud yang menidakkan hak-hak asasi haiwan hingga tak diberi makan dan minum. Unta yang dijanjikan dengan Nabi Salih untuk dibiar bebas minum dan bergerak tanpa gangguan telah dibunuh, akibatnya Allah berikan mereka gempa bumi, sampai mati semuanya.”

Saya tidak perlu menjadi mufti Liverpool atau Ebit Lew untuk tahu isi ayat 73 surah Al-A’raf yang bunyi terjemahan nas itu begini; “Dan Kami telah mengutus kepada kaum Tsamud saudara mereka, Salih. Ia berkata, ‘Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhan-Mu. Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia makan di bumi Allah dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apa pun, yang kerananya kamu akan ditimpa siksaan yang pedih.”

Apabila saya melepasi sangkar cipan, binatang itu tidak semena-mena menyelar saya; cipan atau tapir itu separuh berteriak mengherdik; “Manusia suka sekali mengurung binatang untuk jadi tontonan di taman haiwan atau kebun binatang. Tidakkah menteri dan mufti tahu yang ada sebuah hadis riwayat Muslim menyebut: Adalah satu dosa besar mengurung haiwan dengan kekuasaannya.”

Datuk cipan yang nampak kurus tidak cukup makan bersuara pula, “Tak cukup lagi? Rasulullah nabi orang Melayu Islam mengisytiharkan kota Madinah di antara Aeer iaitu bukit selatan dan Thawr di kawasan bukit utara sebagai kota yang dimuliakan. Tiada binatang boleh dibunuh. Islam juga melarang manusia memakan daging harimau, serigala, gajah, gagak, buaya, serangga, dan bermacam-macam lagi.”

“Tetapi ada juga manusia bodoh makan haiwan yang sudah ditegah. Maka penyakit merebak dalam kalangan kalian, akibatnya kami yang mendapat bahana.”

Saya terpaksa memohon maaf kepada cipan bagi pihak rakyat. Saya berjanji akan menulis sesuatu sepulang ke rumah nanti, dan memastikan suara haiwan tiba ke telinga kerajaan.

Ini tambah menghiris jiwa kalbu apabila seekor siamang yang tampak alim memberikan tazkirah kepada saya, “Tolong pesan menteri merangkap duta khas bahawa seketika Rasulullah berdakwah di luar Madinah, seekor unta mengadu kepada baginda betapa ia diberikan beban kerja yang terlalu banyak hingga tidak berdaya membawa barangan lagi, serta tidak diberi makan dengan sempurna.”

“Rasulullah telah memerintahkan dengan sabdanya, ‘Tidakkah kamu takutkan Allah yang telah menjadikan haiwan ini kepunyaan kamu? Unta ini mengadu kepadaku yang ia telah dibiar kebuluran dan selalu dibebani kerja berat’.

“Rasulullah menambah lagi, ‘Apabila kamu menunggang haiwan yang tidak boleh berbicara, biarkan mereka berehat di tempatnya, dan jika tanah itu gersang serta tiada tumbuh-tumbuhan maka bawa mereka ke tempat lain, dan aku perintahkan supaya kalian mengembara pada waktu malam kerana jauhnya sesuatu tempat adalah lebih baik untuk memulakan perjalanan pada malam hari dari waktu siang’. Itulah yang diriwayatkan oleh Imam Malik.”

Kunjungan singkat saya di Zoo Ebit itu melongokan apabila seekor panda membaca puisi:

Benar binatang tak punya
akal penuh,
ia punya roh,
rasa dan jiwa.
Benar binatang juga makhluk
dapat hilang bentuk,
ia sentiasa patuh,
perintah dan suruh.

Saya yang terkesima memberitahu binatang-binatang itu, “Moga Ebit Lew murah rezeki. Hanya Ebit yang dapat membantu kalian. Saya tidak tahu apa terjadi kepada semua orang kaya di negara ini”.

Dalam perjalanan pulang dari Zoo Ebit, melepasi kawasan parlimen yang diduduki seorang pengkhianat untuk tiba di rumah; serangkap puisi datang mendesah basah dalam benak. Demikian saya terilham oleh sajak sang Panda.

Perlahan rasa sayu hati mengakibatkan air mata saya mengalir. Puisi itu tentang Ebit. Tajuk puisi itu Darwish:

Tujuh puluh menteri kaki sembang
ke kandang binatang,
Negara hanya perlu seorang wali
besar hati
seorang darwish penunai janji
Yang lain hanya judi hanya tahi.