1. Seperti dalam takrif utama Dewan Bahasa dan Pustaka di bawah
ini, lebai adalah gelaran yang baik. Ia merujuk kepada orang yang tahu
berkenaan agama (Islam).
2. Tapi sejak Pas menyertai rampasan kuasa "Sheraton
Move" dan menjadi penyokong tegar kerajaan Perikatan Nasional (PN), imej
dan gelaran lebai mendapat gambaran yang cukup negatif dengan pelbagai gelaran,
sindiran dan cemuhan.
3. Menurut tulisan Dr Mohd Soberi Awang dari Universiti Sains Islam
Malaysia (USIM), perkataan lebai berasal daripada istilah Islami yang membawa
maksud menyahut seruan (kebaikan) seperti dalam talbiyyah ketika mengerjakan
haji.
4. Tapi macam juga gelaran-gelaran yang lain yang dikaitkan
dengan Islam, lebai pun disalah guna dan dipesongkan. Sekarang ini kategori
lebai yang kerap dikritik adalah berkaitan politik. Mereka dipanggil lebai
politik.
5. Boleh jadi juga dari dulu lagi ada lebai yang tidak
berkelakuan baik sehingga pelbagai gelaran buruk diberikan kepada mereka
seperti Lebai Malang, lebai kelarah, lebai ketayap, lebai pulut dan sebagainya.
6. Zaman saya kanak-kanak dan remaja di kampung pada tahun
1950-an dan -60-an dulu, lebai cukup dihormati. Mereka ini dikira bawah sikit
daripada tok guru.
7. Masa itu hanya lebai pakai ketayap. Orang biasa pakai
songkok. Hanya tok guru dan orang yang sudah mengerjakan haji akan pakai jubah
dan serban.
8. Hari ini ramai orang Melayu pakai macam orang Arab padang
pasir sehingga pembuat songkok, kain batik dan songket susah nak cari makan.
Orang Melayu sudah jadi Arab dari segi pakaian.
9. Boleh jadi bangsa Melayu bukanlah bangsa yang ada identiti
kekal atau berbangga dengan adat resam sendiri. Orang Melayu suka meniru
perkara-perkara yang mudah dan berubah ikut musim.
10. Berbalik kepada lebai politik, kita kena ingat tujuan utama
mereka bukan syiar Islam tapi kuasa politik dan segala keuntungan yang datang
bersama dengannya.
Wallahuaklam.Terima
kasih.