Apa faedahnya sidang Parlimen dipendekkan?
Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran mempersoalkan tindakan Menteri Undang-undang Kerajaan Perikatan Nasional mencadangkan sidang Parlimen dipendekkan dengan alasan terdapat kakitangan Dewan Negara yang dijangkiti Covid 19.
Beliau bertanya, berapa banyakkah isu rakyat yang boleh diselesaikan dalam masa 3 jam bersidang semalam.
“Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan kata penjadualan semula persidangan mungkin untuk seminggu tetapi kemudian membuat pusingan U kepada berasaskan harian, jadi apa keputusan sebenarnya?
“Bagaimana kita boleh mengawal merebaknya virus Covid 19 dengan memendekkan sidang Parlimen dari jam 10 pagi ke 1 petang? Apa perbezaannya?
“Apa gunanya panel penghadang di antara tempat duduk Ahli Parlimen? Bukankah panel itu dipasang untuk melindungi Ahli Parlimen daripada wabak Covid 19? Adakah bermakna pemasangan itu satu projek yang gagal menggunakan dana rakyat?” soal Prabakaran.
Oleh itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan itu mencadangkan agar setiap Ahli Parlimen dan para pegawai mereka menjalan ujian swab Covid 19 pada setiap minggu berbanding langkah sekarang menangguhkan sidang Parlimen sesuka hati.
Katanya, andai kelulusan Rang Undang-undang tertangguh lagi pada sidang kali ini maka perkhidmatan awam dan rakyat yang akan menanggung kesusahan akibat kelemahan Ahli Parlimen menjalankann tugas.
“Saya cadangkan satu lagi ujian swab Covid 19 untuk memastikan Parlimen terhindar dari Covid. Ahli Parlimen dan para pegawainya perlu menjalani ujian mingguan, dan kita boleh meneruskan sidang dengan aman dan selamat
“Banyak undang-undang yang tertangguh perlu dibentangkan kali ini. Dengan memendekkan sidang ia tidak membantu. Isu rakyat perlu diberi keutamaan. Saya berharap (penangguhan) ini bukan strategi untuk menenggelamkan apa-apa isu yang mahu dibawa oleh Pembangkang,” katanya lagi.