AKHIRNYA KHALID SAMAD JUGA TAK SETUJU DENGAN KEBIASAAN MAHATHIR


1. Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung ‘ketidak-mampuan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin negara dalam suasana krisis dewasa ini dilihat sebagai satu kenyataan yang tidak perlu dan tidak membantu sama sekali dalam usaha kembalikan mandat rakyat. Dalam suasana sekarang apa yang patut dilakukan adalah untuk menumpu segala kekuatan yang ada untuk menghalang kemaraan kerajaan Perikatan Nasional yang sedang bergerak licik untuk mengekalkan kedudukan mereka.
2. Pada masa yang sama, kenyataan tersebut tidak mengambil kira hakikat bahawa kerajaan PH adalah kerajaan yang bersandarkan konsep ‘collective responsibility’ atau pertanggung-jawaban bersama. Keputusan bukan di tangan Perdana Menteri seorang. Tun sendiri pasti ingat bahawa semasa beliau Perdana Menteri PH, perbahasan panjang dan mendalam merupakan kebiasaan kami dan ada juga yang dibuat tidak mengikut pendapat Tun pada asalnya.
3. Teguran Tun ini pasti akan menghasilkan jawapan balas dari penyokong Anwar. Ini akan menyebabkan berterusannya sengketa sesama kita yang merugikan kita semua. Sedangkan kerajaan PN sepatutnya menjadi sasaran kita. Mereka yang khianat dan melanggar mandat rakyat.
4. Belanjawan Negara 2021 merupakan satu usaha kerajaan Perikatan Nasional untuk menjamin keberlangsungan kerajaan mereka dengan disediakan melaluinya peruntukan untuk pilihanraya PRU 15. Perbahasan belanjawan merupakan peluang terbaik untuk kita menyatukan pembangkang. Ianya turut merupakan peluang untuk kita melonjakkan kedudukan kita untuk mendapat kembali kedudukan sebagai kerajaan.
5. AMANAH menyeru semua pihak yang ingin melihat kembalinya mandat rakyat dan jatuhnya kerajaan Perikatan Nasional untuk merapatkan saff dan mengenepikan perbalahan antara kita. Biar kita menguruskan perbezaan kita secara berhemah sambil mengingati musuh dan lawan kita yang utama adalah kerajaan Perikatan Nasional serta Barisan Nasional dan PAS yang bersekongkol dengan mereka.
6. Kenali musuh kita dan tetapkan keutamaan kita. Kalau Perikatan Nasional masih memerintah, selepas membentang satu belanjawaan yang terburuk dalam sejarah negara yang gagal menangani masalah ekonomi rakyat terutama berhadapan Covid 19, ianya bukan kerana Perikatan Nasional kuat tetapi sebaliknya ianya kerana pembangkang tidak sepakat dan hilang tumpuan serta sibuk berbalah satu sama lain.
KHALID BIN ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi Amanah
Tarikh: 16 November 2020