Siasatan senarai MP juga tanya kes liwat?
Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa beliau turut disoal siasat berhubung “kes liwat” ketika beliau hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berkaitan kes penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk membentuk kerajaan baru.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung “kes liwat” itu.
Katanya, beliau disoal siasat berhubung 6 kes, dengan satu daripadanya ialah kes liwat dan selebihnya membabitkan isu politik, termasuk senarai nama 121 ahli politik yang didakwa menyokongnya.
“Ini biasa dan soalan pun longgar. Ini satu rencana politik untuk menekan saya pada saat-saat seperti ini,” katanya selepas selesai memberi keterangan selama 2 jam semalam.
Selasa lalu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara bagi menyampaikan bukti beliau mempunyai majoriti mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.
Beliau pada sidang media selepas itu berkata, Agong akan menemui beberapa pemimpin parti politik dalam beberapa hari selepas beliau menyerahkan dokumen yang terdiri daripada akuan bersumpah dan pengesahan ketua parti kepada Sultan Abdullah.