Pernah mengumumkan tidak akan kembali ke arena politik, Rafizi Ramli dilihat mungkin menarik kembali pendiriannya sebelum ini.
Bekas Naib Presiden PKR itu dalam status ringkas di Facebook malam ini menulis ‘Nantikan” berserta tanda pagar (tagar) #UntukSemua.
Tagar sama itu juga dijadikan profil bekas Ahli Parlimen Pandan berkenaan selain ciapan di Twitter beliau.
Status itu dimuatnaik di media sosial atas nama akaunnya menjelang detik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah esok.
Rata-rata penyokong PKR dan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Rafizi memberi isyarat akan kembali ke gelanggang politik.
Dalam masa sama, segelintir penyokong Perikatan Nasional (PN) atau kerajaan tebuk atap dilihat menyindir Rafizi dan PH.
Untuk rekod, Rafizi pada 10 Disember tahun lalu memberitahu tidak berniat kembali aktif dalam politik pada masa terdekat selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).
Beliau berkata, mahu memberi tumpuan kepada kepintaran buatan (AI) dan teknologi Internet of Things (IoT) selain mahu terus menjadi ‘orang biasa’ serta menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga serta rakannya.