PKPB tidak akan berlaku jika kerajaan wajibkan kuarantin 14 hari dari Sabah




Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tidak akan berlaku jika kerajaan mewajibkan kuarantin 14 hari kepada mereka yang kembali dari Sabah, kata jurucakap Kesihatan KEADILAN, Dr Lee Boon Chye.

 

Beliau berkata, ini adalah disebabkan majoriti peningkatan bilangan kes di sekitar Lembah Klang adalah disebabkan individu yang dari Sabah sejak awal bulan September.

 

"Sekiranya mereka dapat melakukan kuarantin dua minggu bagi mereka yang kembali dari Sabah sejak awal, kita mungkin dapat menghindari PKPB sekarang," katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.

 

Walaupun sudah agak terlambat untuk melaksanakan PKPB, Boon Chye berharap ia dapat mengekang wabak COVID-19 daripada terus berleluasa.

 

"PKPB akan dapat mengekang penyebaran virus dan menurunkan kadar jangkitan.

 

"Sekiranya ia tidak menjadi juga, ia akan menjadi satu bencana," katanya.

 

Boon Chye yang juga bekas timbalan menteri kesihatan menggesa kerajaan supaya memastikan rakyat jelas dan tidak keliru dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika PKPB.

 

"Jangan umumkan langkah baru setiap hari. Apa sahaja langkah di bawah PKPB, ia mesti dilaksanakan selama dua minggu. Jenis aktiviti harus diseragamkan, supaya semua orang dapat mengikuti dan memahami," katanya.


Boon Chye bagaimanapun meluahkan kebimbangannya terhadap kekurangan tenaga kerja dalam sektor kesihatan serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri bagi melakukan kegiatan seperti mengesan kontak rapat, pemeriksaan dan pengujian, dan juga untuk merawat pesakit baru COVID-19.

 

“Mereka kekurangan kakitangan untuk menangani aktiviti kesihatan awam kerana terpaksa merawat begitu banyak pesakit dalam jangka masa yang singkat, terutamanya di Sabah. Banyak hospital merasakan tekanan.

 

"Di atas kertas kelihatan baik-baik saja, tetapi kami tahu, di lapangan, kakitangan sangat tertekan. Ia membimbangkan. "


Justeru, Boon Chye berpendapat rancangan KKM untuk mengambil seramai 1, 899 pekerja kesihatan secara kontrak adalah langkah pertama yang baik.


"Buat masa ini 1, 899, tetapi saya rasa mereka merancang untuk membawa masuk 2,000 orang. Semoga 2,000 orang dapat diambil bekerja dengan segera. "

 

Katanya, kementerian juga harus membuka kriteria pekerjaan untuk aktiviti kesihatan awam seperti mengesan kontak rapat.


"Ini sebenarnya tidak memerlukan seseorang untuk menjalani latihan kesihatan awam. Ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.


"Kementerian boleh memberikan latihan dan dalam waktu empat minggu mereka dapat melakukan tugas mudah seperti mengesan kontak rapat."