Penasihat DAP, Lim Kit Siang
menyifatkan perutusan Tan Sri Muhyiddin Yassin petang semalam adalah perutusan
terburuk yang pernah disampaikan sejak beliau menjadi Perdana Menteri pada 1
Mac lalu.
Beliau menganggap perutusan
Muhyiddin kurang sensitif terhadap rakyat, malah nasihat yang diberikan
seolah-olah 'cakap tidak serupa bikin'.
"Muhyiddin pastinya
berjaya menarik jumlah penonton tertinggi dalam Perutusan Khas melalui Facebook
beliau semalam, tetapi perutusan beliau semalam adalah perutusan terburuk yang
pernah beliau buat sejak menjadi Perdana Menteri “pintu belakang”.
"Reaksi negatif, cemas,
dan marah membanjiri media sosial selepas beliau menggelarkan diri beliau
sebagai “Abah” dan secara berseloroh mengugut untuk “menggunakan rotan” jika
rakyat tidak mematuhi SOP kerajaan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
"Kemarahan rakyat ini
dapat difahami, memandangkan seorang kanak-kanak yang berusia setahun baru
sahaja dilaporkan menjadi korban terkini wabak ini, mangsa termuda Covid-19
dalam negara kita.
"Rakyat dapat melihat
dengan jelas, layanan berbeza yang diamalkan kerajaan beliau dalam melaksanakan
SOP ini sedangkan beliau baru sahaja mendakwa yang kerajaan tidak memberikan
layanan berbeza kepada mana-mana orang," katanya dalam kenyataan.'
Kit Siang yang juga Ahli
Parlimen Iskandar Puteri turut meluahkan rasa terkilannya terhadap cara
kerajaan menangani COVID-19.
"Saya bersetuju dengan
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, yang rakyat Malaysia tidak
boleh mensia-siakan usaha para petugas barisan hadapan dan kita semua harus
bersatu padu untuk melawan wabak ini dan tidak terus “menangisi nasi yang telah
menjadi bubur”.
"Tetapi apa yang dilakukan
terhadap “bubur” ini akan menjadi kayu ukur terhadap kesediaan kerajaan untuk
belajar daripada kesilapannya dan mula menguruskan defisit kepercayaan yang
dihadapi mereka dalam negara serta menjadi tauladan yang baik untuk menyatupadukan
rakyat dalam melawan wabak Covid-19.
"Agak tragik apabila
satu-satunya orang yang dipercayai ramai dalam kerajaan berkenaan dengan isu
Covid-19 ini adalah Ketua Pengarah Kesihatan, yang terpaksa menjalankan tugas
beliau dan melakukan sidang media secara langsung daripada rumah beliau semasa
menjalani kuarantin memandangkan Menteri Kesihatan kita telah memusnahkan
kredibiliti beliau sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai menteri pada bulan
Mac lalu," katanya.
Justeru, Kit Siang menggesa
kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dalam soal menangani COVID-19 dan
berhenti mengamalkan sikap 'double standard'.
"Rakyat Malaysia berhak
untuk menuntut prestasi yang lebih baik daripada para menteri kita, walaupun
kabinet kini telah dilumpuhkan oleh wabak ini.
"Muhyiddin harus
menggerakkan menteri beliau untuk segera mengembalikan kepercayaan dan
keyakinan rakyat kepada kerajaan untuk melawan virus Covid-19 dan pemimpin
kerajaan harus berhenti berhenti mengamalkan sikap menasihati rakyat mematuhi
SOP Covid-19 sambil melanggarinya.
"Sebagai langkah pertama,
Muhyiddin perlu memastikan Ketua Menteri dan Menteri-menteri Besar daripada
negeri-negeri Pakatan Harapan, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan
tidak dikecualikan lagi dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara berkenaan
Covid-19 yang akan datang!" katanya.