PERLANTIKAN WAKIL PAS SECARA DIAM TELAH SAKITI HATI ORANG SABAH, KATA PENGANALISA

 BOB KELANANG

No photo description available.

Pelantikan Setiausaha PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, sebagai Adun menjadikannya wakil rakyat pertama PAS di negeri itu, perkembangan yang dilihat menyakitkan hati ramai rakyat di Sabah, kata bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).

Johan Ariffin Samad berkata, rakyat Sabah bagaimanapun tidak boleh menyalahkan Aliakbar dan PAS semata-mata, sebaliknya menuding jari kepada Presiden STAR, Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Maximus Ongkili; dan Ketua Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin.

“Mereka ini katakan ‘biarlah Aliakbar buktikan dirinya’. Apa lagi yang hendak dibuktikan kerana PAS sendiri sudah bertapak sebagai parti politik lebih 60 tahun. Kita tahu apa pendirian PAS, mereka tidak boleh tipu PAS Sabah ini berbeza dengan PAS yang berada di Semenanjung.

“Aliakbar tentu akan ikut arahan PAS Pusat yang berada di Semenanjung, sama juga dengan parti lain seperti Umno Sabah juga akan ikut arahan Umno di Kuala Lumpur, begitu juga dengan PPBM Sabah. Jadi di sini, bagaimana Aliakbar boleh bawa perubahan?” katanya ketika dihubungi FMT.

Aliakbar antara 4 individu yang menerima watikah pelantikan sebagai Adun daripada Yang Dipertua Negeri, Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri. Perlembagaan Sabah membenarkan kerajaan negeri melantik sehingga 6 Adun.

Spekulasi mengenai pelantikan pemimpin PAS pada mengundang bantahan banyak pihak. Semalam, Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan, yang juga presiden STAR, mengingatkan rakyatnya bahawa pelantikan Aliakbar merupakan prerogatif Ketua Menteri Hajiji Noor walaupun pemimpin PAS dari semasa ke semasa mengeluarkan kenyataan yang menggores perasaan serta sentimen rakyat.

Presiden PBS, Maximus Ongkili, dalam pada beliau mempertahankan pendirian parti mengatakan tidak perlu menetapkan sebarang duluan dengan pelantikan itu, percaya Aliakbar akan membetulkan perkara yang salah dan persepsi orang ramai terhadap PAS.

Johan bagaimanapun tertanya jika benar pentadbiran Hajiji ingin melantik individu yang mampu membuat perubahan, kenapa pemerintah tidak melantik wakil masyarakat daripada golongan kurang upaya, ibu tunggal, atau wanita memandangkan tidak ramai daripada kelompok itu diberikan ruang.

“Kenapa tidak lantik seorang atau dua orang dari mereka ini? Bahkan juga wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka turut memainkan peranan penting dalam masyarakat. Tetapi kita lantik individu dari PAS, jadi apakah matlamat dan objektif yang hendak dibawanya?” katanya.