Pengumuman kerajaan berhubung
perintah kawalan pergerakan di beberapa tempat di negara ini sebenarnya
mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, kata jurucakap Kesihatan
KEADILAN, Dr Lee Boon Chye.
Bekas timbalan menteri
kesihatan itu berkata ini terbukti menerusi perintah kawalan pergerakan
bersyarat (PKPB) di Klang.
"Pengumuman PKPB Klang
baru-baru ini cukup kalut dan mengelirukan. Rakyat keliru sama ada sesetengah
tempat sahaja terlibat atau meliputi seluruh Mukim Klang.
"Apa yang lebih
mengelirukan adalah aktiviti apa yang dibenarkan ketika PKPB. Tetapi kekeliruan
ini boleh ditangani dengan lebih baik," katanya dalam kenyataan.
Boon Chye berpandangan, salah
satu caranya adalah untuk memperkenalkan garis panduan khusus mengenai perintah
kawalan pergerakan (PKP).
"Sebagai permulaan, PKP
berkesan untuk mengawal virus SARS CoV2 yang menyebabkan COVID-19 dari
menjangkiti manusia. Ia efektif seolah-olah seperti vaksin ketika vaksin
sebenar masih belum dapat dicipta hingga hari ini. Ini kerana manusia adalah
satu-satunya hos kepada virus SARS CoV2 dan ketika penularan manusia ke manusia
dihentikan, wabak dapat dikendalikan dan dapat berakhir secara spontan.
"Setiap PKP mempunyai 3
parameter yang perlu ditentukan, iaitu tempoh PKP, lokasi PKP dan tahap PKP
tersebut.
"Parameter ini diputuskan
berdasarkan sejauh mana penyebaran wabak. Sebilangan besar kekeliruan rakyat
adalah mengenai aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam tempoh PKP.
"Justeru, saya mendesak
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan untuk menetapkan
garis panduan khusus mengenai empat tahap PKP dan bukannya istilah PKPD, PKPB
dan PKPP," katanya.
Berikut merupakan cadangan Lee
Boon Chye terhadap tahap PKP:
Tahap 4 PKP: bentuk PKP yang paling teruk
seperti 18/3/2020 apabila semua perkhidmatan yang tidak penting, awam atau
swasta, tidak dibenarkan. Pergerakan manusia dihalang.
Tahap 3 PKP: membenarkan aktiviti berisiko
rendah (contohnya jabatan kerajaan, pejabat, kebanyakan perniagaan kecuali
tempat hiburan dan makan di restoran) untuk disambung semula dengan 'normal
baharu' (iaitu jarak fizikal, memakai topeng, sanitasi tangan, sanitasi kawasan
umum, pemeriksaan suhu dan pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera). Tidak ada
perhimpunan orang yang melebihi 10 orang dalam satu masa.
Tahap 2 PKP: membenarkan kebanyakan
aktiviti termasuk makan di restoran, sekolah dan institusi pendidikan untuk
disambung semula dengan 'normal baharu'. Tidak ada perhimpunan lebih dari 100
orang.
Tahap 1 PKP: biarkan semua aktiviti
termasuk tempat hiburan disambung semula dengan 'normal baharu'. Tiada sekatan
orang ramai selagi jarak fizikal dapat dijaga.
Boon Chye menjelaskan, apabila
PKP dikenakan untuk jangka waktu tertentu, di lokasi tertentu, MKN hanya perlu
mengumumkan tahap PKP yang secara automatik menentukan jenis aktiviti yang
dibenarkan atau tidak diizinkan.
"Ini akan menjadi lebih
jelas. Klasifikasi ini akan mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat, dan
juga agensi penguatkuasaan. Ini juga akan mengelakkan kenyataan yang berbeza
dari menteri yang berbeza," katanya.