Sebarang usul yang baik termasuk peruntukan elaun petugas barisan
hadapan COVID-19 sudah tentu akan disokong oleh pembangkang, kata Ahli Parlimen
Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
Beliau berkata sokongan pembangkang terhadap usul yang baik boleh
dibuktikan menerusi sokongan yang diberikan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika
kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang yang berkaitan COVID-19.
Baginya, pembangkang memainkan peranan besar dalam memastikan
setiap usul dan peruntukan menepati keperluan semasa rakyat ketika ini.
"Kita perlu teliti tugas atau pun fungsi pihak pembangkang
dalam Parlimen untuk proses semak dan imbang.
"Sekiranya tidak ada langsung pembangkang, maka sesuatu yang
dibawa ke perhatian Parlimen tidak ada sesiapa yang akan membangkitkan untuk
diteliti dengan lebih mendalam.
"Contohnya, isu yang dibangkitkan ketika ini adalah
peruntukan elaun 'frontliners', benda-benda seperti ini perlu diteliti oleh
pihak kerajaan," katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani.
Fahmi juga menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong yang membuat
keputusan untuk menolak permohonan darurat bagi membolehkan Belanjawan 2021
dibahaskan di sidang Parlimen pada bulan November ini.
"Bila sesuatu usul itu dibahas di Parlimen, ia memberi lebih
banyak peluang untuk suara didengari.
"Kalau berlaku darurat...Nauzubillah, tidak ada sidang
Parlimen, tidak ada peluang mendengar dalam Dewan Rakyat tentang pro dan
kontra.
"Tetapi alhamdulillah Duli Tuanku bertitah tidak perlu
darurat, jadi sidang Parlimen boleh diteruskan," katanya.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR bersetuju dengan titah
Agong yang meminta ahli-ahli politik supaya memberhentikan segala 'politicking'
buat masa ini yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
"Isu pokok pada masa ini bukan untuk menukar kerajaan,
sebaliknya, usaha-usaha untuk berdepan pandemik COVID-19," katanya.