Kebiasaannya siasatan tidak dijalankan secara tergesa-gesa,
sebaliknya, melibatkan tempoh masa tertentu.
Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh meluahkan rasa
‘pelik’ terhadap enam kertas siasatan membabitkan Ketua Pembangkang itu.
Menurut Ramkarpal, kebiasaannya siasatan tidak dijalankan secara
tergesa-gesa, sebaliknya, melibatkan tempoh masa tertentu.
Bagaimanapun, kata beliau, Anwar memberikan kerjasama penuh
terhadap siasatan tersebut.
“Kami boleh menyatakan bahawa pihak polis mengambil tindakan
yang prefesional.
“Tetapi yang pelik adalah kenapa semua enam laporan disiasat
secara tergesa-gesa seperti ini?
“Biasanya mereka mengambil masa untuk menyiasat (kesemua kertas
siasatan) dan siasatan melalui tempoh masa tertentu,” katanya dalam sidang
media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Jumaat.
Jelas Ramkarpal, kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b)
Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Terdahulu, Anwar selesai memberi keterangan kepada Unit Siasatan
Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sekitar pukul
5 petang.
Ahli Parlimen Port Dickson itu memberi keterangan bagi enam kes
yang disiasat terhadapnya.
Anwar berkata, penjelasan telah diberikan kepada polis yang mana
senarai nama telah diserahkan kepada presiden setiap parti dan menjadi
urusannya untuk dipersembahkan ke Yang DiPertuan Agong.
Anwar sebelum ini diminta hadir selepas terdapat 113 laporan
dibuat terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat itu berhubung penyebaran senarai
nama 121 Ahli Parlimen menyokong pimpinannya.