Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin dianggap gagal mentadbir negara apabila gagal menangani
pelbagai isu yang membelenggu rakyat ketika ini.
Pengarah Komunikasi Angkatan
Muda KEADILAN Selangor, Mohd Khairool Ngadon berkata perkara ini boleh dilihat
berdasarkan gejala rasuah yang dilaporkan di media sejak kebelakangan ini.
"Membaca laporan akhbar
berkenaan pendedahan salah laku rasuah di sektor awam yang melibatkan pihak
pimpinan tertinggi agensi kerajaan memberikan gambaran seolah-olah kerajaan
hari ini mula membusuk dari dalam.
"Pendedahan ini secara
tidak langsung telah membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional dibawah pimpinan
Muhyiddin Yassin gagal dalam menangani isu rasuah," katanya.
Malah, Khairool berpandangan
bahawa peningkatan kes wabak COVID-19 baru-baru ini melenyapkan keyakinan
rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Lebih kejam dan zalim
ketika penularan wabak Covid-19 ini rakyat sedang bergelut dengan kesenjangan
ekonomi dan kemerosotan pendapatan malah moratorium juga sudah tamat pada 30
September lalu, tetapi golongan atasan dengan rakus mengaut laba keuntungan
secara tamak dan haloba," katanya.
Justeru, Khairool menggesa
supaya kepimpinan baharu diberi peluang untuk mentadbir negara bagi mengubah
nasib generasi akan datang.
"Malaysia perlukan
perubahan segera yang menyeluruh untuk memastikan tadbir urus dan tatakelola
yang mampan dan tuntas. Untuk itu agenda reformasi perlu segera diterjemahkan
dalam memacu negara yang berdaulat ini.
"Dalam erti kata lain
Anwar Ibrahim perlu segera diberi peluang dan ruang dalam memimpin Kerajaan
Malaysia dalam menghapuskan gejala rasuah serta memacu ekonomi dan menjana
pendapatan yang baik untuk rakyat.
"Negara ini perlu segera
diperbaiki segera untuk masa hadapan pewaris kita," katanya.