Belanjawanan keperluan rakyat
Titah Yang Dipertuan Agong pada 28 Oktober 2020 jelas menekankan perlunya Belanjawan yang menyasarkan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat yang kini tersiksa susulan kegawatan akibat wabak Covid-19.
Buat pertama kalinya, belanjawan yang bakal dibentangkan dititahkan bukan berpaksikan pembangunan, tetapi untuk memastikan kesinambungan perjalanan kerajaan.
Ini kerana, lebih daripada bila-bila masa lain dalam sejarah, kerajaan kini wajib memayungi seluruh rakyat agar terlindung daripada ancaman yang sudah pun meragut nyawa dan memporak-perandakan masyarakat.
Sesuai dengan itu, kita melihat tindak-balas pelbagai pihak, sudah tentu daripada pihak pembangkang, tetapi juga wakil rakyat Perikatan Nasional sendiri menyambut titah Agong, sejurus selepas kenyataan media Istana Negara tular.
Semua seia-sekata menuntut ketelusan dan kewibawaan daripada kerajaan PN bagi memastikan Belanjawan 2021 benar-benar dibentangkan berpaksikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat, walaupun dalam konteks pemulihan ekonomi.
Sesuai dengan itu, penulis ingin memberi beberapa cadangan untuk dipertimbangkan semua pihak, terutama rakyat akan kesesuaiannya disertakan dalam belanjawan itu.
Ini memandangkan kepentingan Belanjawan 2021 maka wajar segala pemikiran yang seiring dengan titah Agong diambil kira.
Apa-apa ide yang menyumbang kepada kelangsungan hidup rakyat, baik dari segi memelihara nyawa mahu pun memulih perjalanan cara hidup dalam norma baru bukanlah perkara remeh yang boleh diketepikan begitu sahaja.
Idea berkaitan kesihatan
- Diwujudkan dana untuk meningkatkan pemeriksaan Covid19 agar ia lebih meluas dan tidak terhad kepada yang diwajibkan melalui ‘contact tracing’ atau yang mampu membiayai pemeriksaan sendiri sahaja.
Ini termasuk bukan sekadar pengambilan sampel untuk diuji, tetapi pembangunan infrastruktur tempatan seperti makmal pemeriksaan serta logistik seperti bekalan bahan kimia yang diperlukan, selain kumpulan pekerja makmal yang mencukupi bagi menampung peningkatan kadar pemeriksaan.
- Menaiktarafkan perjawatan semua penjawat awam yang dikategorikan sebagai ‘frontliners’ di lapangan, yakni doktor, jururawat, polis, bomba dan lain-lain, selain kategori pentadbir yang tidak terdedah secara langsung.
- Menyediakan insentif khas bagi menggalakkan sukarelawan dalam kalangan ‘front-liners’ untuk berkhidmat sementara di kawasan gawat Covid19 seperti Lahad Datu, Tawau dan lain-lain
Insentif yang sama juga dibuka kepada profesional perubatan bukan penjawat awam untuk berkhidmat sementara di kawasa tersebut.
- Dana strategik pengagihan vaksin perlu diwujudkan bagi penyediaan proses penerimaan, pemprosesan, pengagihan dan aplikasi vaksin kepada rakyat Malaysia.
Ia haruslah merangkumi bukan sekadar pembelian dan pembotolan vaksin, tetapi juga peralat perubatan seperti picagari sesuai bagi vaksin tersebut.
- Dana kecemasan juga harus disediakan bagi memberi keupayaan kepada Kementerian Kesihatan dengan segera menaik-tarafkan atau mendirikan pusat rawatan bagi menangani peningkatan mendadak kes Covid19 dan melampaui kemampuan sedia ada di kawasan terbabit, seperti di Lahad Datu.
Ide bagi meringankan beban kewangan masyarakat
- Bank Negara Malaysia diarahkan untuk mengkaji kewajaran menurunkan kadar Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi sebahagian daripada penentu kos pembiayaan hutang di Malaysia dengan menyasarkan OPR pada kadar 0.5% menjelang akhir 2021 berbanding 1.75% sekarang.
Bank Negara juga diarah memulakan kajian ke arah pelaksanaan kadar OPR negatif bagi sektor kewangan jika ekonomi terus lemah sepanjang 2021.
- Diisytiharkan “tax holiday” atau pengecualian cukai bagi seluruh rakyat bagi tahun 2020 dan separuh tahun 2021.
- Penangguhan pembayaran selama 18 bulan bagi cukai pendapatan yang masih belum berbayar untuk tahun 2019 dikepada semua keluarga bagi RM50,000 pertama jumlah cukai tersebut.
- Pelupusan semua penalti kelewatan pembayaran cukai dan saman kerajaan serta apa-apa bayaran kepada GLC dari Mac 2020 sehingga akhir 2021, seperti cukai tanah dan taksiran, cukai pendapatan, saman trafik, bil elektrik, telefon dan air, penyambungan lesen percuma dan tanpa permohonan bagi semua lesen perniagaan kecil, pemandu kenderaan dan lain-lain bemula suku tahun ke-4 2020 sehingga akhir tahun 2021 dengan pemegang lesen yang melanggar undang-undang sahaja perlu memohon semula.
- Kerajaan memperkenalkan semula gred petrol U92 dengan subsidi minimum 30 sen sekali, gus membenarkan syarikat minyak menjual gred lain petrol lain pada harga terbuka.
- Kadar SST dikurangkan ke 0% bagi tahun 2021 dan dikaji semula bagi tahun-tahun berikutnya. Seiring itu, perlaksanaaan cukai digital untuk semua syarikat tempatan untuk transaksi atas talian juga ditangguhkan.
Ide pemulihkan perjalanan cara hidup
- Kerajaan mengiktiraf pecahan masyarakat mengikut pendapatan berlandaskan kategori B40, M40 dan U20 tidak sesuai diguna-pakai pada masa ini dan ditakrif semula sebagai B60, M30 dan U10, dengan semua kemudahan yang dahulunya dinikmati oleh golongan B40 kini terbuka kepada B60, yakni 60% dari rakyat paling kurang pendapatan.
Manfaat kepada M40 pula kini dibuka kepada M30, yakni yang antara berpendapatan menengah yang lebih kecil.
- Kerajaan melancarkan Kad Sara Hidup bagi semua pemohon golongan B60 untuk membantu pembelian barang-barang asas seperti beras, telur, susu, sabun dan topeng muka.
Barang asas tersebut hanya boleh dibeli dari kedai yang dibenarkan dengan harga yang terkawal.
- Kesemua sekolah di luar zon merah akan dibuka sejurus perlaksanaan pemeriksaan Covid19 di sekolah tersebut. Selain itu, setiap murid sekolah daripada keluarga B60 yang membuktikan kehadiran lebih 80% sebulan melayakkan keluarga mendapat penambahan elaun melalui Kad Sara Hidup.
- Bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19, peraturan berkaitan semua aktiviti perniagaan di sekolah diperketatkan, seperti kantin, kedai buku atau koperasi.
- Barang keperluan asas ditambahkan ke dalam senarai barangan terkawal di bawah Akta Kawalan Bekalan dan Akta Kawalan Harga Dan Anti-Pencatutan. Ini termasuk sabun ketul, pensanitasi, topeng muka dan sarung tangan.
Ide pengurangan kos kerajaan untuk disalurkan ke perbelanjaan lain
- Jumlah kementerian dikurangkan dengan penggabungan 8 kementerian dan meninggalkan hanya 22, sekali gus mengurangkan jawatan menteri dan timbalan menteri.
- Gaji dan elaun anggota Kabinet, timbalan menteri dipotong separuh dan jumlah perjawatan pegawai juga dikurangkan.
Jawatan setiausaha politik dimansuhkan sesuai dengan titah Agong berhubung pengurangan aktiviti politik.
- Penjawat awam berpangkat JUSA ke atas ditawarkan peluang bersara awal dengan sasaran memansuhkan 10% daripada semua jawatan peringkat tertinggi kerajaan, kecuali di sektor kesihatan, keselamatan awam dan pertahanan.
- Jabatan dan agensi kerajaan yang sesuai akan digabung, misalnya Teraju diserap ke dalam MARA sebagai salah satu jabatan di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA.
- Agensi latihan seperti MARA dan HRDF diberi mandat untuk mempertingkatkan program latihan atas talian bagi anggota masyarakat yang hilang pekerjaan dengan syarat pentauliahan haruslah menurut piawaian yang berwajib seperti Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) atau Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Latihan ini boleh ditawarkan secara percuma dan tanpa memerlukan pemberian elaun kepada pelatih.
Penulis adalah pembaca FMT.