Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah
kesal dengan sikap Menteri Besar (MB) negeri itu, Muhammad Sanusi Mohd Nor yang
cuba mengalih isu kelemahan pentadbirannya dengan perbandingan lebih banyak
rakyat meninggal dunia akibat Denggi berbanding Covid 19.
Menurut Timbalan Ketua AMK Kedah,
Aizuddin Ariffin (gambar atas, kanan), kenyataan
Sanusi yang seolah-olah memperkecilkan bahaya wabak Covid 19 amat dikesali.
Katanya, sebagai MB, lebih wajar
beliau menggunakan media untuk menerangkan langkah-langkah yang dibuat Kerajaan
Negeri bagi memastikan Kedah bebas dari wabak Covid 19 berbanding mengalihkan
tumpuan kepada penyakit lain.
"Menteri Besar dilihat sengaja
mengalih isu atas kegagalan beliau mentadbir secara baik dan tuntas mengatasi
masalah yang menimpa rakyat terutama soal keselamatan dan ekonomi, tatkala
negeri ini berdepan musibah Covid 19.
"Sewajarnya Sanusi memperinci
dan menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang akan diambil oleh Kerajaan
Negeri bagi memutuskan rangkaian Covid 19, termasuk menyentuh soal ekonomi
untuk mengurangkan keresahan rakyat.
"Saya mengkritik cara
pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan MB Sanusi. Jika sikap sambil lewa ini terus
dipamerkan, saya menggesa agar YAB Sanusi segera melepaskan jawatan sebagai MB
Kedah," katanya dalam satu kenyataan.
Ariffin yang merupakan Ketua
Penerangan AMK Malaysia turut tidak senang dengan kenyataan Sanusi yang
membandingkan pesakit Covid 19 dan HIV.
Katanya, teguran beliau kononnya
rakyat memandang serong pesakit Covid seperti mana pesakit HIV tidak wajar
dikeluarkan oleh seorang pemimpin Kerajaan Negeri.
"Saya turut menyelar kenyataan
MB Sanusi yang membuat tomahan kepada orang awam seolah olah mereka menghukum
pesakit Covid 19.
"Tuduhan melampau ini adalah
sangat tidak bertanggungjawab kerana melabel orang awam melihat pesakit yang
positif Covid 19 dengan perspektif (seolah-olah) telah melakukan dosa,"
katanya lagi.
Dalam laporan media kelmarin Sanusi
meningatkan orang awam agar tidak mengecam pesakit Covid 19 sebagaimana yang
dihadapi Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.
Bagaimanapun, pendapat Sanusi itu
dipertikaikan netizen kerana kecaman bukan dilakukan atas ke atas jangkitan
penyakit tetapi sikap para menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang tidak
melakukan kuarantin kendiri setelah pulang dari Sabah sehingga merebakkan virus
Covid 19 kepada rakyat yang tidak bersalah.