Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa
lebih 120 ahli parlimen telah memberikan sokongan kepada beliau dan kesemua
dokumen sokongan itu telah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan
Abdullah di Istana Negara pagi tadi.
Susulan daripada itu, Agong akan memanggil beberapa ketua parti
bagi mengesahkan majoriti yang diperoleh oleh Anwar.
Justeru, Anwar meminta rakyat supaya memberi ruang dan masa kepada
Agong untuk membuat keputusan yang selanjutnya.
"Alhamdulliah, menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di atas
perkenan menerima saya menghadap di Istana Negara.
"Seperti yang dijanjikan pada 23 Sept lalu, saya sudah
tunaikan dan persembahkan kepada Agong dokumen sahih memgenai majoriti kukuh
yang meyakinkan dari ahli parlimen yang menyokong saya.
"Saya pohon semua pihak memberikan ruang dan wawenah kepada
Agong bagi menjalankan tanggungjawab mengikut lunas perlembagaan dan juga budi
bicara untuk menelaah dokumen dan satu dua hari ini memanggil ketua parti bagi
mengesahkan dan mendapat input serta pandangan yang sebaiknya," katanya
dalam sidang media.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berpandangan dokumen
sahih yang dikemukakan itu sudah cukup untuk membuktikan beliau mempunyai
majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
"Sokongan mencecah lebih 120 ahli parlimen jadi Agong akan
memanggil ketua parti yang terlibat dan munasabah untuk kita bersabar, beri
ruang kepada Agong untuk memutuskan.
"Dokumen sahih yang diberikan kepada Agong itu ada bentuk
surat pengakuan sumpah ada bentuk pengesahan dokumen dari ketua parti, dengan
dokumen ini terbukti kita ada majoriti kukuh dan yakin dalam kalangan ahli
parlimen.
"Saya merayu kepada rakyat bersabar memberikan ruang kepada
Agong untuk berfikir dan putuskan berdasarkan perlembagaan dan budi
bicara," katanya.
Anwar tetap dengan pandangannya bahawa kerajaan Perikatan Nasional
(PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah jatuh.
"Agong ada ruang dan budi bicara jadi saya ingat tidak wajar
untuk kita bagi tarikh atau tetapkan masa, saya maklumkan kepada Agong bahawa
kita akan bersabar, cuma kalau berdasarkan terkini saya masih beranggapan
kerajaan Muhyiddin sudah jatuh.
"Muhyiddin sudah hilang majoriti, justeru lebih wajar untuk
beliau meletakkan jawatan," katanya.
Anwar bagaimanapun menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan
terus menumpukan kepada menangani penularan COVID-19 dan memulihkan sektor
ekonomi.
"Fokus kita ketika ini sudah tentu adalah COVID-19 bagi
memastikan ekonomi berkembang, kita ada kaedah yang mana tidak ada pada
kerajaan ketika ini dalam menangani perkara ini, malah tiada perancangan jelas
untuk pulihkan ekonomi.
"Ini bukan soal kemenangan atau kekalahan tetapi supaya dapat
tegakkan satu negara yang maju dan adil, menangani malapetaka COVID-19 dan
memacu pertumbuhan ekonomi yang meyakinkan," katanya.
Pada masa sama, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaan yang akan
dibentuknya nanti bersifat inklusif dan bukan ditubuhkan atas dasar permusuhan
politik semata-mata.
"Banyak yang dibangkitkan mengenai kenyataan saya yang lalu
bahawa pentadbiran ini insya-Allah jika saya pimpin nanti, majoritinya muslim
dan Bumiputera, tetapi saya tegaskan bahawa hak semua rakyat warganegara tetap
terpelihara.
"Saya beri jaminan bahawa kerajaan ini kerajaan inklusif,
tidak ada permusuhan politik dan dendam peribadi kepada sesiapa," katanya.
Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menafikan bahawa
majoriti itu berjaya diperoleh kerana beliau sudah membuat perjanjian dengan
pihak tertentu.
"Saya kekal komited dengan reformasi institusi, kebebasan
kehakiman dan perlembagaan undang-undang. Tidak ada "deal" dengan
mana-mana individu seperti yang didakwa sesetengah pihak. Tuduhan itu tidak
relevan dan sangat tidak bertanggungjawab.
"Tidak ada agenda politik terhadap sesiapa, mereka yang
menyokong saya harus menerima proses berdasarkan perlembagaan undang-undang dan
kebebasan kehakiman, tidak akan mengubah mana-mana pendakwaan seperti yang
ditohmahkan.
"Saya juga bukan dalam kedudukan untuk menghalang sesiapa
yang mahu sertai saya, dengan syarat bahawa mereka terima polisi dari segi
tadbir urus yang baik dan reformasi institusi," katanya.