LANTIK PM BERDASARKAN KEPERCAYAAN MAJORITI, BUKAN SD
Persoalan berbangkit yang tular di media arus perdana sejak
semalam mengenai tiadanya senarai nama atau Akuan Berkanun (SD) yang
dipersembahkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang
di-Pertuan Agong bukanlah syarat khusus dalam Perlembagaan Persekutuan untuk
melantik Perdana Menteri (PM).
Menurut pakar undang-undang Perlembagaan Dr Aziz Bari,
Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut calon PM hendaklah ‘mendapat
kepercayaan majoriti’ ahli-ahli Dewan Rakyat.
Katanya, tidak timbul isu Anwar tidak mengikut lunas undang-undang
atau prosidur standard perlantikan PM sebagaimana dilaporkan media.
“Kalau disebutkan bahawa prosidur dan lunas-kunas Perlembagaan itu
tidak dipatuhi, saya pun tidak jelas
“Dari apa yang kita baca dalam Perlembagaan, khususnya Perkara 43,
yang disebut ialah ‘kepercayaan majoriti’ sahaja. Tidak disebut soal bilangan
dan soal senarai nama. Inilah yang saya fikir menimbulkan banyak persoalan.
“Sebab dalam kenyataan semalam disebut supaya Datuk Seri Anwar
mengikuti lunas-lunas Perlembagaan. Jadi bila saya buka (buku Perlembagaan),
tidak ada di sini yang mengatakan lunas-lunas. Yang ada hanyalah kepercayaan
majoriti. Itu sahaja,” kata Dr Aziz dalam sesi siaran langsung Facebook, malam
tadi.
Mantan Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia itu juga menolak keperluan calon PM menyatakan dengan jelas bilangan
Ahli Parlimen yang menyokong beliau, sebelum boleh dianggap layak dilantik
sebagai PM.
“Kalau nak melantik (PM maka) berdasarkan kepercayaan majoriti. PM
(semasa) yang wajib meletak jawatan pun berdasarkan kepercayaan majoriti. Tidak
ada disebut berapa bilangannya (Ahli Parlimen) kerana kita tahu (jumlah Ahli
Parlimen) berubah-ubah sejak merdeka hingga sekarang.
“Mungkin 50, mungkin 150, bergantung kepada jumlah keseluruhan
Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat.
“Soal kepercayaan majoriti itu merupakan perkara yang saya fikir
bergantung kepada keadaan, dan tidak menjadi isu sebenarnya. Dikatakan Datuk
Seri Anwar gagal mengemukakan (senarai SD). Memang tak ada keperluan (senarai)
dan bukan SOP yang diperlukan pun.
“Saya pun tidak tahu syarat yang sama dikemukakan kepada Tan Sri
Muhyiddin sewaktu beliau jadi PM kira-kira 6 bulan lepas. Adakah Muhyiddin
serahkan nama kepada Agong dan berapa bilangannya kita pun tidak tahu dan tak
dimaklumkan sampai sekarang,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Dr Aziz tidak menolak sekiranya pihak istana
memerlukan senarai nama sebagai proses memastikan seseorang calon PM
benar-benar mempunyai cukup sokongan.
Cuma, menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu, perkara yang tiada
dalam peruntukan Perlembagaan seharusnya dimaklumkan terlebih dahulu kepada
Anwar untuk dipersembahkan ketika mengadap Agong.
“Benda ini sekurang-kurangnya dimaklum lebih awal. Pegawai istana
hubungi Anwar minta bawa senarai yang kamu kata sokong kamu. Kalau nak lebih
tegas, bawa SD dan sebagainya.
“Sekarang sudah macam-macam cara kita nak menentukan apa yang
dipanggil kepercayaan majoriti. Kalau di Perak 2009, Sultan Azlan Shah panggil
seorang demi seorang. Dengar dari mulut sendiri, betulkah mereka sokong calon
MB pada waktu itu.
“Jadi ini gaya baru. Kalau kita imbas apa yang diamalkan sejak
merdeka, tak ada benda ini,” katanya lagi.
Semalam, laporan media membayangkan seolah-olah mustahil PM
dilantik tanpa SD dipersembahkan terlebih dahulu dan usaha Anwar mengadap Agong
adalah langkah yang tidak mengikut Perlembagaan kerana tidak menyertakan jumlah
Ahli Parlimen tertentu tanpa menyebut peruntukan khusus dalam Perlembagaan
Persekutuan yang mewajibkan syarat sedemikian.