Jurucakap KEADILAN bagi kesihatan, Dr Lee Boon Chye berpandangan
adalah lebih wajar kerajaan memperbanyakkan pusat kuarantin bagi menempatkan
pesakit COVID-19 yang berisiko rendah dan tidak bergejala berbanding
ditempatkan di rumah.
Bekas timbalan menteri kesihatan itu menganggap walaupun ada
pesakit yang tidak bergejala, ahli keluarga yang berada di rumah berisiko
dijangkiti wabak berbahaya itu.
"Langkah membenarkan mereka menjalani kuarantin dan rawatan
di rumah akan membuka jalan kepada risiko jangkitan “yang sangat tinggi” dalam
kalangan ahli keluarga walaupun semua pelbagai langkah diambil bagi
menghalangnya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) merancang untuk menempatkan pesakit COVID-19 berisiko rendah dan yang
tidak bergejala di rumah kerana pusat kuarantin sudah hampir memenuhi kapasiti.
Dr Lee bagaimanapun berpandangan bahawa pesakit hendaklah
ditempatkan di pusat kuarantin yang ditetapkan dengan tanggungan sepenuhnya
oleh kerajaan atau skim MySalam, terutama golongan yang tidak berkemampuan.
"KKM boleh menggunakan hotel, asrama atau dewan komuniti
sebagai kemudahan sementara seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di
Serdang, Selangor sebelum ini.
“Justeru, cadangan merawat pesakit di rumah hanya menggambarkan
peningkatan kes jangkitan yang berlaku di Sabah. KKM perlu dibantu bukan sahaja
untuk merawat pesakit, tetapi juga mengawal jangkitan di sana," katanya.