Majoriti sekolah-sekolah
pedalaman di Sarawak yang meskipun mempunyai kemudahan asas, ia tidak berada
pada tahap yang memuaskan malah dalam keadaan serba kekurangaan daripada
pelbagai aspek.
Ketua Biro Pendidikan Majlis
Pimpinan Wanita KEADILAN Sarawak, Jamila Abdul Basha mendedahkan masih banyak
sekolah di kawasan pedalaman yang tidak dibekalkan dengan kemudahan air paip
yang bersih.
"Di era millennium kini,
masih banyak sekolah di kawasan pedalaman yang bergantung kepada sumber air
hujan untuk kegunaan harian. Pada musim kemarau, pihak sekolah terpaksa memohon
bekalan air bersih daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Kuasa elektrik tidak
konsisten dan dari masa ke masa menyebabkan pelajar terpaksa hidup dalam
kegelapan. Generator dihantar untuk kegunaan pihak sekolah namun kuasa
generator tidak mencukupi.
"Walaupun ada bekalan
elektrik, ada kalanya bekalan elektrik terputus dan perkara ini secara langsung
menjejaskan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) serta semua urusan perkeranian.
Bagi tenaga pendidik pula masalah elektrik ini merupakan satu cabaran dalam
menjalankan tugas harian mereka.
"Pihak kerajaan perlu
menyediakan kemudahan seperti tenaga pendidik dan kakitangan sekolah, prasarana
yang holistik, fasiliti yang lengkap dan utiliti seperti air yang bersih dan
selamat digunakan untuk memberi pendidikan yang mampan dan berkualiti,"
katanya.
Jamila juga berpendapat
sekolah-sekolah pedalaman Sarawak masih tidak dapat untuk menyediakan kemudahan
internet yang sewajarnya.
.
"Dalam era digital
revolusi terkini, bidang pendidikan tidak seharusnya ketinggalan dalam
mengalami transformasi secara digital.
"Pelaksanaan pembelajaran
atas talian telah lama dipraktikkan di negara-negara maju kerana ia dipercayai
mampu memberikan pelbagai manfaat dan kebaikan.
"Kaedah pengajaran dan
pembelajaran secara maya penting bagi memastikan silibus pengajaran dapat
disampaikan dengan sebaik mungkin dan sesi pembelajaran tidak ditangguhkan.
"Malangnya masih banyak
sekolah di kawasan pedalaman Sarawak ketinggalan jauh dibelakang kerana masalah
capaian internet pada tahap yang mengecewakan. Oleh yang demikian kebanyakan
tugasan harian tidak dapat disiapkan mengikut jadual," katanya.
Justeru, Jamila menggesa
kerajaan supaya melakukan pembaharuan terhadap kemudahan asas di
sekolah-sekolah tersebut.
"Usaha untuk menambahbaik
situasi ini memang sudah dijalankan namun masih pada tahap tidak memuaskan.
"Wajarkan aspek-aspek
penting ini dipandang remeh? Tentu sekali tidak. Anak Sarawak di kawasan
pedalaman tidak patut dianak tirikan.
"Setiap anak yang
kesekolah mempunyai hak utk mendapatkan kemudahan asas yang lengkap. Semoga
pihak yang bertanggungjawab peka dan mengambil tindakan sewajarnya,"
katanya.