Kemelut
politik tanah air tidak perlu dipanjangkan dengan pelbagai ulasan oleh pihak
yang cuba mengelirukan serta tidak berhujah berdasarkan peruntukan dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Menurut
mantan profesor kuliyah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,
Dr Aziz Bari, Perlembagaan ditulis dengan jelas, apabila seseorang Perdana
Menteri (PM) telah kehilangan sokongan maka pilihan beliau sangat terhad, iaitu
meletak jawatan atau meminta membubarkan Parlimen.
Katanya,
tidak dinyatakan pilihan membawa hal itu ke Parlimen dan diuji dengan Undi
Tidak Percaya atau lain-lain cadangan seperti yang dipropagandakan oleh media
arus perdana muktahir ini.
"Perlembagaan
kata apabila seseorang PM hilang sokongan maka dia wajib letak jawatan. Tidak
timbul soal Parlimen dan sebagainya. Ini berlaku di Malaysia dan negara-negara
Wesminister.
"PM
boleh letak jawatan atau minta raja, presiden atau gabenor jeneral bubar dewan
kalau dibenarkan. Kalau tidak, dia perlu letak jawatan. Ada dua pilihan saja,
bukan tiga atau empat. Tak ada soal Parlimen. Itu tak disebut dalam
Perlembagaan. Mengapa kita buat sesuatu perkara yang tak perlu?
"Atau
panggil presiden (ketua) parti buat apa, buang masa sahaja. Kalau betul apa
yang didakwa oleh Ahli Parlimen Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim), lantik
sahaja, dia akan pergi ke Parlimen dan parliament will deal with him
"Di
sana ada orang akan test sokongan dia. Kalau betul ada
120 (Ahli Parlimen), dia akan kekal sebagai PM. Tak perlu kita pening. Dalam
babak ini hanya Agong saja yang terlibat. Tak ada mahkamah, tak ada apa.
"Ini
yang saya kesal. Rakyat jadi keliru (proses peralihan kuasa). Media pula putar
belit cerita yang tak masuk akal dan rakyat makin bingung," katanya dalam
sesi siaran langsung Facebook anjuran KEADILAN Ipoh Timur malam tadi.
Pakar
undang-undang Perlembagaan itu menjelaskan sistem demokrasi berparlimen di
Malaysia tidak sama dengan di Amerika Syarikat atau Indonesia. Apabila kerajaan
dilantik maka ia bertahan untuk tempoh 4 tahun.
Di
Malaysia, katanya, kerajaan boleh tumbang apabila gagal mengekalkan majoriti
112 daripada 222 kerusi Parlimen. Oleh itu, kerajaan baharu perlu dilantik
segera dan tidak perlu mengekalkan suasana tidak menentu berpanjangan.
"Dalam
sistem kita sesebuah kerajaan boleh jatuh bila-bila masa kalau gagal
mengekalkan majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi. Dikira hilang kepercayaan
dan PM wajib meletak jawatan. Itu pada prinsip.
"Sekarang
apa yang berlaku Tan Sri Muhyiddin yang dilantik enam bulan lepas, terdengar
dakwaan Ahli-ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada beliau telah menarik
balik sokongan. Beliau tidak lagi memilikki minimum 112 seperti yang
disyaratkan, selepas Datuk Seri Anwar mengadap Kebawah Duli Yang di-Pertuan
Agong
"Namun
selepas (Anwar mengadap) itu beliau (Muhyiddin) masih lagi mendakwa beliau
memiliki majoriti yang kredibel.
"Jadi
hal ini (Muhyiddin kekal sebagai PM) saya fikir tidak perlu. Saya fikir
barangkali ini boleh diibaratkan perlawanan bola sepak. Ada satu pasukan di
hadapan (jaringan gol lebih banyak), penonton resah sebab pengadil tidak tiup
wisel. Dia biarkan perlawanan berlarutan, jadi kita bayangkan apa yang
berlaku," katanya.
Dr Aziz
turut menjelaskan tidak ada keperluan untuk mempertikaikan Akuan Berkanun (SD)
Ahli-ahli Parlimen yang menyokong Anwar sama ada ia dibuat secara jujur atau
tidak. Hal itu katanya telah jelas di sisi undang-undang.
"Apabila
Datuk Seri Anwar mendakwa beliau punya sokongan, beliau patut dipanggil
mengadap dan terpulang bagaimana untuk memeriksa bahawa dakwaan itu benar.
"Zaman
sekarang undang-undang kita telah menyediakan SD, dan saya fikir tak perlu kita
pening. Kalau Ahli Parlimen A telah buat satu SD menyokong seseorang, tak perlu
kita pertikaikan dan go beyond the SD.
"Kalau
dia menipu kita boleh bawa dia ke mahkamah, boleh didakwa. Mengapa buang masa
nak pastikan betul ke orang itu sokong Datuk Seri Anwar?" ulasnya lagi.
Forum
bertajuk 'Celik Perlembagaan dari pakar 2' itu dipengerusikan oleh Shaiful
Arifin. Selain Dr Aziz, forum turut mengundang aktivis masyarakat, Dr Khairudin
Abd Malik sebagai ahli panel.