Lantikan Azmin Ali sebagai Menteri Terkanan dalam kerajaan
Muhyiddin Yassin merupakan salah satu punca yang menimbulkan ketidakpuasan hati
khususnya dalam kalangan pemimpin UMNO sehingga menyebabkan kerajaan Perikatan
Nasional hari ni bergolak dan menunggu masa untuk runtuh.
Apabila diimbas kembali Langkah Sheraton pada Februari lalu, Sdr
Prasanth berpendapat ia adalah satu percaturan yang melibatkan Azmin Ali dengan
hasrat utama untuk menghalang Dato Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana
Menteri. Malah, sebelum ini juga Azmin Ali pernah melakukan perkara yang sama
apabila beliau menggunakan pelbagai muslihat bagi menyekat Dato’ Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail daripada diangkat menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun
2014.
Apabila PAS dan UMNO bersepakat untuk mendaftarkan Muafakat
Nasional tanpa BERSATU, moderator sdr Adzman membangkitkan persoalan
kemungkinan Muhyiddin Yassin telah tersalah langkah untuk memberikan
kepercayaan dan membawa masuk Azmin Ali ke dalam BERSATU.
Menurut sdri Tyra, Muhyiddin Yassin mengambil satu langkah yang
berisiko disebabkan watak Azmin Ali yang diibaratkan gunting dalam lipatan
terutamanya sewaktu berada dalam KEADILAN dan Pakatan Harapan. Ada juga yang
berpandangan Azmin Ali turut mengkhianati Tun Mahathir sepanjang percaturan
Langkah Sheraton dengan mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Dengan pergolakan yang sedang berlaku, kini Azmin Ali pula cuba
untuk menaikkan dirinya untuk menjadi Perdana Menteri yang seterusnya.
Sdr Syed Shah pula menegaskan Azmin Ali telah mencetuskan
ketegangan dan ketidaktentuan dalam politik negara. Beliau juga telah
membangkitkan amarah rakyat terhadap ahli-ahli politik yang kini dianggap gila
kuasa dan tidak boleh dipercayai disebabkan percaturannya yang sentiasa cuba
untuk meraih sokongan dan mengekalkan kuasa melalui sogokan wang dan jawatan.
Beliau menambah kejayaan Azmin Ali sepanjang menjadi Menteri
Besar Selangor hanyalah sekadar mencipta propaganda dan persepsi melalui permainan
politil populis dan propagandisnya. Sepanjang menjadi MB Selangor, Azmin Ali
hanya meneruskan kelangsungan (idea) kerajaan sebelum itu.
Keadaan ini tidak jauh beza apabila Azmin Ali memegang portfolio
sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebelum ini. Hal ini kerana sepanjang tempoh
tersebut beliau hanya mampu berperanan untuk menggerakkan sebuah propaganda
seperti Wawasan Kemakmuran Bersama bertujuan untuk mempamerkan dirinya sebagai
‘the next leadership’, dengan berkempen di seluruh kementerian dan juga negeri.
Kini memegang Menteri Terkanan Perdangangan Antarabangsa dan
Industri (MITI), Azmin Ali dilihat gagal mengurus pandemik COVID-19 dengan baik
khususnya berkaitan dengan operasi industri dan sektor ekonomi. Penetapan SOP
dan peraturan yang sering kali mengelirukan dan berubah-ubah telah menyebabkan
kesusahan kepada golongan peniaga dan juga orang ramai.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Azmin Ali ini hanya mampu
berfungsi sebagai ahli politik yang hanya berminat untuk merebut jawatan dan
kuasa, sehingga membawa kepada ketidaktabilan politik yang berpanjangan.
Pencapaian beliau selama memegang jawatan dalam pentadbiran Negeri dan
Persekutuan tidak lebih daripada mewujudkan persepsi yang baik melalui
pendekatan populis tanpa memberikan manfaat dan kebaikan yang ‘real’ kepada
rakyat.