Keadaan terdesak Perdana Menteri (PM)
Muhyiddin Yassin selepas Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan mengisytihar
darurat ke seluruh negara hendaklah digunakan sebaik-baiknya bagi menuntut
pembaharuan dalam kerajaan.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen
berkata, Pakatan Harapan (PH) seharusnya menggunakan pendekatan tawar menawar
berdepan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memandangkan undi meluluskan
Belanjawan 2021 amat penting.
Menurutnya, sekiranya PM Muhyiddin
gagal meluluskan belanjawan kali ini maka beliau perlu meletak jawatan. Oleh
kerana itu, PH tidak harus menyokong melulu tanpa sebarang timbal balas yang
diperolehi dari kerajaan PN.
"Konvensyen Parlimen menuntut
jika kerajaan kalah dalam Rang Undang-Undang kewangan, kerajaan tidak ada
pilihan selain meletak jawatan. Undian belanjawan ialah ibu kepada semua RUU
kewangan. Jika PM kalah undian ini, beliau perlu meletak jawatan dan
kerajaannya akan tumbang.
“Oleh itu, kita tidak boleh
menyerahkan 'senjata khas' ini kepada PM secara percuma. Sebaliknya, kita mesti
mempertimbang menggunakannya sebagai kelebihan yang sangat penting bagi
mendapatkan beberapa pembaharuan yang sangat diperlukan untuk menyelamatkan
demokrasi,” tulisnya di Facebook.
Menurut Wong lagi, terdapat banyak
masa untuk PH menyuarakan beberapa tuntutan kepada kerajaan PN kerana undian
belanjawan hanya akan berlangsung pada 10 Disember.
Manakala sokongan yang dinyatakan
Umno kepada Muhyiddin bukanlah muktamad dan mungkin boleh ditarik pada
bila-bila masa.
Sehubungan itu, Wong berpendapat PH
perlu menawarkan undian blok Pembangkag dengan pertukaran kerajaan PN membuat
beberapa reformasi pentadbiran.
“Paling atas dalam senarai
pembaharuan demokratik ialah memberi hak tanpa had kepada Pembangkang untuk
membentangkan usul Undi Tidak Percaya di Parlimen. Saya yakin Ahli Parlimen
Umno yang berfikiran reformasi seperti Tengku Razaleigh Hamzah akan menyokong
permintaan tersebut.
“Reformasi ini akan membolehkan
Parlimen memeriksa keabsahan PM dan untuk mencegah kediktatoran
"Kedua, kabinet perlu meluluskan
Akta Perkhidmatan Parlimen pada sidang Mac 2021 untuk menjadikan Parlimen bebas
daripada eksekutif dari segi kewangan dan pentadbiran.
"Sebenarnya ada ratusan perkara
yang boleh direformasikan tetapi saya menekankan pimpinan PH untuk berunding
mengenai dua peruntukan asas demokrasi berkenaan," katanya.
Kata Wong lagi, tiada makna sekiranya
kerajaan menawarkan perdamaian atau rekonsiliasi namun mereka tidak mahu
melakukan sebarang pembaharuan demokrasi.
"Selepas gagal mengisytihar
darurat, agenda pembaharuan menjadi lebih mendesak daripada sebelumnya
"Sebagai menunjukkan keikhlasan
kerajaan, saya juga menyeru agar kabinet melakukan pembentangan penuh
belanjawan kepada seluruh Ahli Parlimen Pembangkang pada 2 November ini.
“Selepas itu, biarkan rundingan ‘undi belanjawan untuk
reformasi’ bermula demi kepentingan rakyat, demokrasi dan negara,” katanya.