Suruhanjaya
Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bimbang cadangan Kerajaan Perikatan
Nasional (PN) untuk mengisytihar darurat akan membawa ketidakstabilan jangka
panjang kepada politik Malaysia dan seterusnya merosakkan ekonomi.
Menurut
satu kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya itu, peristiharan darurat sebelum
ini telah menyebabkan penangguhan sidang Parlimen, kemerosotan ekonomi dan
pencabulan hak asasi rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan yang tidak
sewajarnya berlaku.
"Di
bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan
darurat sekiranya Baginda berpuas hati bahawa terdapat ancaman terhadap
keselamatan negara, ekonomi atau ketenteraman awam. Sebaliknya keadaan
kesihatan dan ekonomi semasa di negara ini yang berkaitan dengan Covid 19,
tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.
"Pengisytiharan
darurat yang dicadangkan dengan tujuan untuk membendung Covid 19 adalah tidak
mengikut Perlembagaan dan tidak boleh dijustifikasikan terutamanya apabila
orang ramai telah mematuhi perintah kawalan pergerakan dan prosedur operasi
standard (SOP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.
"Langkah-langkah
terkini yang diambil oleh kerajaan untuk mencegah jangkitan di negara ini dan
pematuhan ketat terhadap SOP oleh rakyat adalah mencukupi untuk mengatasi wabak
tersebut," kata kenyataan media suruhanjaya itu.
SUHAKAM
juga memohon Raja-raja Melayu akan bersidang pada hari ini menilai dengan rapi
cadangan darurat yang dikemukakan oleh kerajaan PN bagi menjamin hak asasi
rakyat terpelihara dan mengelak kerajaan menggunakan alasan Covid untuk
bertindak sewenang-wenangnya.
"Seperti
yang dinyatakan dalam kenyataan media Istana Negara, SUHAKAM mengambil maklum
bahawa Yang di-Pertuan Agong akan segera berunding dengan Raja-Raja Melayu
untuk membincangkan cadangan Pengisytiharan Darurat yang dibangkitkan oleh
Perdana Menteri.
"Dalam
hal ini, SUHAKAM menggesa kerajaan untuk menilai semula keperluan
Pengisytiharan Darurat untuk menangani wabak Covid 19 dan menyeru kerajaan
mendukung tugas dan tanggungjawab mereka dalam menghormati kedaulatan
undang-undang serta melindungi kebebasan asasi rakyat seperti yang dijamin di
bawah Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu lagi.
Sepanjang
sejarah Malaysia, darurat diisytiharkan sebanyak 4 kali, iaitu darurat pada
tahun 1964, darurat di negeri Sarawak pada tahun 1966, darurat pada selepas 13
Mei 1969 dan darurat di negeri Kelantan pada tahun 1977.