DAP sedia kerjasama dengan semua parti politik untuk lanjutan moratorium

 

DAP bersedia untuk bekerjasama dengan semua parti bagi menekan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin supaya melanjutkan moratorium pinjaman bank secara automatik.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, lanjutan moratorium sehingga Mac 2021 diperlukan kerana rakyat sedang menderita.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata bahawa gelombang ketiga penularan Covid-19 telah membantutkan pemulihan ekonomi terutama perniagaan kecil.

“Kerajaan PN telah mengecewakan ramai rakyat Malaysia kerana gagal untuk menyambung moratorium pinjaman bank secara automatik.

“Sekiranya Muhyiddin enggan mendengar keluhan lebih 6.6 juta peminjam yang ditinggalkan ketika moratorium pinjaman berakhir pada 30 September, maka semua parti politik harus bekerjasama untuk menuntut lanjutan moratorium pinjaman secara automatic selama enam bulan lagi.

“Ini semua demi menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, lanjutan moratorium akan menelan belanja sebanyak RM6.4 bilion, yang mana mampu diserap oleh industri perbankan.

“Industri perbankan telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM32 bilion pada tahun 2019 mampu untuk menanggung kos tersebut.

“Jika industri perbankan tidak mahu memikul tanggungjawab sosial korporat itu sekalipun, kerajaan harus menanggungnya,” ujarnya.