Ahli
Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (gambar, kanan)
pagi tadi meninjau proses saringan Covid 19 ke atas Kluster Jalan Pantai yang
melibatkan warga setempat termasuk para pelajar dan guru di Sekolah Kebangsaan
(SK) Bangsar.
Katanya,
beliau berpuas hati dengan langkah pencegahan yang diambil dengan menutup SK
Bangsar pada 9 hingga 16 Oktober bagi proses saringan, siasatan dan sanitasi.
"Pada
masa sama, saya difahamkan pihak Pejabat Kesihatan Lembah Pantai telah
melakukan saringan dan sanitasi di salah satu kawasan yang terlibat dengan
Kluster Jalan Pantai. Demi menjaga privasi, saya tidak menamakan lokasi tersebut.
"Saya
telah melawat lokasi tersebut, dan telah berhubung dengan beberapa pihak
termasuk PDRM, Pejabat Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan DBKL untuk
menanyakan status bantuan makanan kerana ramai yang disaring dan dikuarantin.
"Saya
difahamkan Majlis Keselamatan Negeri telah mengeluarkan arahan penghantaran
makanan. Saya juga mohon Pejabat Kesihatan pertimbang sanitasi tambahan seperti
yang dipohon penduduk," katanya dalam satu kenyataan.
Selain
itu, Fahmi turut bertemu seorang penduduk yang tidak mempunyai kediaman tetapi
dipakaikan gelang pink. Beliau berbincang dengan Pejabat Kesihatan dan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur untuk penempatan sementara individu berkenaan.
"Saya
difahamkan terdapat seorang pakcik yang tinggal di bawah blok tersebut yang
tidak mempunyai rumah tetapi telah disaring dan dipakaikan gelang pink.
"Setelah
berbincang dengan beberapa pihak termasuk Pejabat Kesihatan dan DBKL, saya
telah memohon beberapa tindakan dipertimbang dan menunggu keputusan pihak
berwajib," katanya.
Justeru,
Fahmi menyeru kepada semua warga Lembah Pantai supaya terus mematuhi semua SOP
termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, tidak bersentuhan atau
bersalaman dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Saya
doakan warga Lembah Pantai dan juga para barisan hadapan yang terlibat dalam
Kluster Jalan Pantai sentiasa dilindungi dan selamat dari Covid-19,"
katanya lagi.