Belanjawan 2021 akan lebih mudah
diluluskan sekiranya pihak Kerajaan Perikatan Nasional membincangkan terlebih
dahulu peruntukan-peruntukan di dalam dokumen berkenaan sebelum dibentang di
Parlimen.
Bagi Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik
Nazmi Nik Ahmad, sekiranya pihak kerajaan mengikut nasihat Presiden KEADILAN,
Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa proses belanjawan perlu 'mengambil pendekatan
dwiparti dalam menyusun strategi menghadapi wabak Covid-19 dan isu pengangguran
serta kemiskinan' maka tidak mustahil ia akan diluluskan dengan mudah.
"Seperti yang dititahkan oleh
Raja-raja Melayu baru-baru ini, ahli-ahli politik di negara kita mesti
bekerjasama untuk menghadapi pandemik kali ini dan mengelakkan penyalahgunaan
kuasa.
"Ahli politik Malaysia mesti
bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan belanjawan diluluskan,
dengan syarat semua pihak, termasuk Pembangkang, akan diberi ruang menyatakan
pandangan dan dijelaskan hal-hal penting secara menyeluruh.
"Tidak ada pihak yang boleh
menjadi 'pak turut' dalam belanjawan kali ini - ia akan menutupi tujuan sebenar
langkah dwiparti diambil.
Pembaharuan besar dan realistik mesti
dilakukan untuk mengembalikan keyakinan setelah apa yang dilalui negara.
"Proses kelulusan belanjawan
tidak boleh dilakukan secara melulu, walaupun dalam keadaan krisis Covid-19.
Belanjawan yang dibentangkan akan gagal sekiranya tidak dipantau oleh penggubal
undang-undang atau tiada input dwiparti yang benar-benar bermakna,"
katanya dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, Nik Nazmi memberi amaran
Belanjawan 2021 tidak boleh dilakukan untuk tujuan politik atau menaungi
sesiapa. Setiap sen yang dicadangkan, katanya, mestilah untuk kemaslahatan
umum, termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, satu-satunya cara bagi
Malaysia untuk mendapatkan belanjawan terbaik adalah dengan kerajaan semasa
komited dalam reformasi Parlimen.
"Ini bukan sahaja untuk
memungkinkan semua anggota Parlimen membahaskan isu-isu kritikal, tetapi turut
dapat bertindak mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan, dan
menghidupkan kembali Jawatankuasa-Jawatankuasa Terpilih yang sebelumnya telah
ditubuhkan.
"Akta Perkhidmatan Parlimen
penting kerana Pakatan Harapan di ambang memperkenalkannya semula. Parlimen
yang lebih bebas, cekap dan kuat akan dapat memberi kebaikan kepada rakyat dan
kehidupan mereka.
"Menangani ancaman Covid-19 dan
memulihkan ekonomi tidak boleh berlaku tanpa reformasi politik dan institusi.
Belanjawan 2021 tidak akan berjaya tanpanya," kata Nik Nazmi lagi.
Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN
bagi Pendidikan itu, banyak isu ekonomi boleh dibahaskan dalam pembentangan belanjawan
kali ini termasuk membincangkan masalah-masalah asas yang dihadapi oleh ekonomi
negara tetapi kerap dipandang ringan.
Hal itu termasuk cabaran lama seperti
membebaskan negara dari terlalu bergantung pada komoditi, isu tenaga kerja
asing, meningkatkan kemahiran pekerja dan meningkatkan gaji dan produktiviti,
serta isu baru seperti ancaman keselamatan serantau.