Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan Presiden KEADILAN meminta kerajaan dan pembangkang untuk "... mengambil pendekatan dwiparti dalam menyusun strategi yang mantap untuk menghadapi wabak COVID-19 dan isu pengangguran dan kemiskinan yang mendesak."
Pendekatan ini memerlukan sokongan semua rakyat Malaysia. Sudah semestinya penting Belanjawan 2021 diluluskan untuk memastikan perjuangan negara kita melawan pandemik Covid-19 dalam pemulihan ekonomi tidak terganggu.
Seperti yang dititahkan oleh Raja-raja Melayu baru-baru ini, ahli-ahli politik di negara kita mesti bekerjasama untuk menghadapi pandemik kali ini dan mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Ahli politik Malaysia mesti bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan Belanjawan diluluskan, dengan syarat semua pihak, termasuk Pembangkang, akan diberi ruang untuk menyatakan pandangan dan dijelaskan hal-hal penting belanjawan secara menyeluruh.
Tidak ada pihak yang boleh menjadi pak turut semata-mata dalam belanjawan kali ini - ia akan menutupi tujuan sebenar langkah dwiparti diambil.
Pembaharuan besar dan realistik mesti dilakukan untuk mengembalikan keyakinan setelah apa yang dilalui negara tahun ini.
Proses ini tidak boleh dilakukan secara melulu, walaupun dalam keadaan krisis Covid-19. Belanjawan yang dibentangkan akan gagal sekiranya ia tidak dipantau oleh penggubal undang-undang atau tiada input dwiparti yang benar-benar bermakna.
Sudah tentu perbelanjaan tidak boleh dilakukan untuk tujuan politik atau menaungi sesiapa. Setiap sen yang dicadangkan untuk dibelanjakan oleh Belanjawan ini mestilah untuk kemaslahatan rakyat, termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan kesejahteraan mereka.
Kita juga harus sedar bahawa barisan hadapan kita - terutama mereka yang berkhidmat di Sabah - sangat memerlukan pertolongan di semua peringkat.
Saya merasakan belanjawan ini perlu membincangkan masalah-masalah asas yang dihadapi oleh ekonomi kita tetapi kerap dipandang ringan.
Ini termasuk cabaran lama seperti membebaskan negara dari terlalu bergantung pada komoditi, isu tenaga kerja asing, meningkatkan kemahiran pekerja serta meningkatkan gaji dan produktiviti, serta isu baru seperti ancaman keselamatan serantau.
Satu-satunya cara bagi Malaysia untuk mendapatkan Belanjawan terbaik adalah dengan kerajaan semasa perlu komited dalam reformasi Parlimen.
Ini akan bukan sahaja untuk memungkinkan semua anggota Parlimen membahaskan isu-isu kritikal, tetapi turut dapat bertindak untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan dan menghidupkan kembali Jawatankuasa-Jawatankuasa Terpilih yang sebelumnya telah ditubuhkan.
Akta Perkhidmatan Parlimen penting kerana Pakatan Harapan di ambang memperkenalkannya semula. Parlimen yang lebih bebas, cekap dan kuat akan dapat memberi kebaikan yang baik kepada rakyat dan kehidupan mereka.
Menangani ancaman Covid-19 dan memulihkan ekonomi kita tidak boleh berlaku tanpa reformasi politik dan institusi. Belanjawan 2021 tidak akan berjaya tanpanya.
Apa pun yang berlaku, saya dan rakan-rakan seperjuangan komited untuk memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus dijunjung. Kami tetap tabah dalam memberikan semak imbang dan memastikan negara dapat keluar dari pebagai dugaan yang dilalui selama ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA SETIAUSAHA PENGELOLA KEADILAN
JURUCAKAP PARLIMEN KEADILAN BAGI PENDIDIKAN
AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA