Sebagai salah seorang Ahli Parlimen UMNO, saya bawa tiga
cadangan dalam meeting semalam kerana itulah tujuan kami bertemu.
Ia adalah untuk berbincang dan menentukan hala tuju UMNO pasca
YDP Agong dan Raja-raja Melayu menolak permintaan darurat kerajaan PN.
Semua diberi peluang untuk mengutarakan pandangan masing-masing.
Ini adalah amalan lazim dalam
UMNO.
Antara cadangan yang saya utarakan ialah untuk kerjasama
bersyarat dengan Anwar tanpa DAP sehingga PRU15.
Dua lagi cadangan adalah untuk mendapat persetujuan untuk PRU
diadakan pada suatu tarikh yang tetap pada masa depan setelah Covid terkawal
demi memulihkan kestabilan politik serta cadangan bahawa UMNO teruskan
kerjasama dengan PN dengan syarat UMNO diberikan lebih peranan dalam kerajaan
untuk menentukan halatuju ekonomi.
Fahamkan, ia adalah cadangan-cadangan untuk diperbincangkan.
Bukan kata muktamad.
Tapi ada juga netizens yang kecam saya sebab antara cadangan
saya ialah kerjasama bersyarat dengan Anwar tanpa DAP sehingga PRU15.
Turut dimainkan beberapa media portal beri gambaran ia bagai
satu keputusan muktamad. Tak benar itu.
Ianya hak untuk netizens kecam saya. Saya faham. Dan saya tak
kata media sosial bukan level saya.
Itupun cadangan untuk kita berbincang sahaja. Belum bekerjasama
pun.
Perlu ingat juga yang pernah berpakat secara rasmi dengan Anwar
termasuk:
1. Mahathir.
2. Muhyiddin.
3. Azmin Ali + Zuraida
4. Parti PAS.
5. UMNO sendiri.
Tujuan mesyuarat petang semalam untuk berbincang hala tuju
memang untuk mencari, berbincang dan menilai pelbagai cadangan dan kemungkinan
demi kepentingan parti dan kebaikan rakyat dan negara.
Kalau bukan untuk bincang pelbagai kemungkinan, kenapa pula kita
nak bermesyuarat?
Bukan bermaksud kita mesti laksanakan setiap cadangan.
Sebaliknya cadangan diperbincangkan dengan mendalam oleh setiap yang hadir.
Ada yang tuduh saya pencinta atau BFF Anwar. Malah ada
mengeluarkan kembali foto saya menziarahi Anwar di hospital. Saya melawat ramai
pemimpin politik ketika mereka sakit biarpun tidak sehaluan dalam politik.
Ada yang tuduh saya nak lepaskan dari kes-kes mahkamah saya. Ada
yang kecam saya gila kuasa.
Tapi perlu ingat bahawa ramai yang kata begitu juga masa kita
bersetuju untuk mewujudkan PN walaupun saya kata saya tidak mahu jawatan dan
saya mahu kes-kes saya diteruskan untuk bersihkan nama saya melalui proses
pengadilan.
Ketiga-tiga cadangan saya adalah berdasarkan kepentingan parti
dan kebaikan negara, yang tunjangnya adalah rakyat. Kalau saya tidak pedulikan
rakyat, sudah tentu saya tidak menulis saranan saranan demi kepentingan rakyat.
Pendapat saya bahawa kita perlu terbuka untuk berbincang dengan
parti-parti lain juga adalah sebagai pendirian politik kepada PN bahawa UMNO
masih ada pilihan lain. Perlu diingatkan UMNO adalah sebuah parti politik.
Jika dulu UMNO tak terbuka, tak wujudlah Muafakat Nasional
dengan PAS dan kerajaan PN dengan PPBM yang merupakan musuh kita selewat bulan
Februari 2020
Malam semalam, Majlis Tertinggi UMNO telah putuskan bahawa kita
teruskan kerjasama dalam kerajaan PN tapi dengan gesaan kerjasama ini perlu
berpaksikan nilai penghormatan dan political consensus. Ia juga perlu ada
keseimbangan yang jelas.
Keputusan ini juga satu dari 3 cadangan yang saya sebut semalam.
Sebagai orang parti, saya akur dengan keputusan ini.
Tetapi jika gesaan kerjasama untuk lebih saksama ini tidak
dihormati maka:
- kemarahan akar umbi UMNO terhadap ketidakseimbangan kerjasama
dalam PN yang memuncak pada PRN Sabah akan terus membara.
- UMNO turut akan terpalit sama bersama apabila ekonomi menjadi
semakin parah, bantuan khusus Sabah yang amat diperlukan ketika ini masih tidak
kelihatan, moratorium pinjaman yang berulang-kali digesa seluruh kepimpinan
serta akar umbi UMNO tidak dilanjutkan, rancangan menyelamatkan negara tidak
berkesan walaupun UMNO (dan semua parti lain dalam kerajaan PN) tidak diberi
sebarang peranan. Kita bukan PM, Menteri kanan paling kanan, menteri kewangan,
menteri ekonomi ataupun ahli Majlis Tindakan Ekonomi.
- UMNO turut dipersalahkan apabila penjualan aset negara yang ditolak
Rakyat seperti penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World serta penjualan FGV
diteruskan walaupun dibantah UMNO berulang kali tetapi tidak diendahkan.
- UMNO juga akan turut menerima kritikan apabila langkah-langkah
kontroversial seperti langkah beberapa individu tertentu tiba-tiba mohon
darurat diisytiharkan tanpa persetujuan dan pengetahuan UMNO.
- UMNO dan BN turut dipersalahkan dengan presepsi layanan
dwi-standard antara pemimpin kerajaan PN dan rakyat yang langsung tidak
melibatkan pemimpin BN pun.
- Dan sudah tentu UMNO turut dipersalahkan jika keadaan Covid
tidak terkawal dan bertambah teruk walaupun kebanyakan kes ini berpunca dari
kecuaian menjaga pusat tahanan, lokap, penjara dan pengendalian PATI yang
ditahan di bawah kementerian yang bukan di bawah UMNO. Inilah yang menyebabkan
Covid menular semula di Sabah dan kemudiannya merebak ke seluruh negara.
Sebagai orang parti, saya bimbang bahawa kuasa sementara yang
sedang dikongsi dan jawatan sementara yang sedang dinikmati UMNO/BN dalam
kerajaan PN akan menyebabkan kekalahan lagi teruk dalam PRU15 sedangkan trend
sebelum kita bentuk kerajaan PN ialah Muafakat Nasional akan menang besar dalam
PRU15. Malah kita sudah buktikan melalui kemenangan PRK berturut-turut BN
sebelumnya.
UMNO perlu sedar wujudnya risiko ini (seperti yang diulas
beberapa penganalis dalam artikel pagi ini) dan ini yang saya nampak.
Mungkin ramai yang tak berpendapat sebegini.
Ikhlas dari
seorang ahli parti yang paling lantang menentang gagalkrasi PH tiap-tiap hari
secara habis-habisan sepanjang 22 bulan sehingga PH tumbang tanpa meminta
sebarang jawatan dalam parti atau kerajaan pada ketika hampir semua
pemimpin-pemimpin lain membisu dan play safe.