KETIKA masih menuntut di sekolah Elit MCKK (Malay College Kuala
Kangsar) saudara Anwar Ibrahim menubuhkan satu kumpulan 'kongsi gelap' diberi
nama MARAMUNJANGAN atau MARAMUNJA yang berasal dari perkataan "Mara ke
hadapan mundur jangan,".
Kumpulan ini dianggotai oleh 11 orang rakan-rakan beliau. Antara
ahli kumpulannya ialah Datuk Fauzi dan Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad
(Pengerusi DRB HiCom) dan beberapa orang teman lain.
Jangan salah faham, kumpulan ini disebut 'kongsi gelap' bukanlah
kerana ia menjalankan aktiviti haram, sebaliknya kerana ia adalah kumpulan
kecil tidak berdaftar dan hanya dianggotai oleh rakan-rakan rapat Anwar Ibrahim
semasa di bangku sekolah.
MARAMUNJA ditubuhkan untuk membela anak bangsa yang mundur dan
tercicir dalam pelajaran. Setiap ahli anggota kumpulan ini perlu mengendalikan
kelas tuisyen percuma dan memberi motivasi kepada anak-anak Melayu sepanjang
cuti penggal persekolahan.
Setiap ahli anggota juga mesti menyediakan laporan aktiviti
mereka.
Selain itu antara aktiviti lain MARAMUNJA ialah menubuhkan
tabung kewangan di kalangan ahli yang berkemampuan.
Jika ada mana-mana ahli atau pelajar yang kesempitan wang,
mereka akan dibantu dengan tabung ini.
Contoh yang selalu berlaku, jika ada pelajar-pelajar miskin yang
tidak cukup wang untuk membeli tiket bas atau keretapi untuk pulang ke kampung
maka duit dari tabung ini akan digunakan untuk membantu mereka.
Suatu hari pernah diceritakan bagaimana Anwar ternampak sebuah
rumah orang kampung miskin yang rosak atapnya berhampiran Bukit Chandan. Beliau
mencadangkan agar duit tabung MARAMUNJA digunakan untuk bantu menukar atap
rumah tersebut dan mereka bersetuju.
Mereka pun pergi ke rumah tersebut dan menawarkan untuk membantu
memperbaiki atap berkenaan. Tuan rumah terkejut kerana yang datang menawarkan
bantuan adalah anak-anak sekolah yang umurnya belasan tahun pada waktu itu.
Dengan perbelanjaan $80 dikeluarkan dari tabung MARAMUNJA
bumbung rumah pakcik berkenaan berjaya ditukar termasuk upah tukang rumah juga
ditanggung oleh mereka.
Sejak dari peristiwa itu setiap kali hujung tahun, mereka
mengadakan mesyuarat, jika ada lebihan wang tabung MARAMUNJA ia akan digunakan
untuk membantu orang-orang kampung yang miskin.