Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman
mengakui tidak mustahil untuk parti yang diwakilinya memberi sokongan kepada
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-9.
Walaupun KEADILAN dan UMNO tidak sehaluan dalam politik, Tajuddin
menganggap Anwar mampu membentuk kerjasama yang lebih kukuh berbanding
Perikatan Nasional (PN).
Beliau berpandangan PN tidak memberikan peluang kepada UMNO untuk
memegang jawatan penting dalam kerajaan, menyebabkan parti itu merasa
disisihkan meskipun memiliki jumlah kerusi terbesar di Parlimen.
"Kalau UMNO merasakan (peluang) dia dikurangkan, kerajaan PN
kena melihat perkara ini supaya dapat diatasi. Kalau tidak nanti masalah
perhubungan ini akan menjadi lebih rumit dan orang lain akan mengambil
kesempatan untuk membawa satu cadangan lain.
"Umpamanya sekarang mungkin Anwar ada formula yang boleh
membahagiakan pihak yang sanggup bekerjasama dengannya seperti UMNO, Gabungan
Parti Sarawak atau Warisan.
"Kalau parti-parti ini merasakan Anwar boleh memberi apa yang
dia mahu, mungkin mereka akan tertarik untuk memberikan sokongan kepada Anwar,
jangan terkejut kalau itu berlaku," katanya seperti dilaporkan Astro
Awani.
Pada masa sama, Tajuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir
Salak berpandangan kerajaan PN perlu bersikap adil atau perkara sebaliknya yang
akan berlaku.
"Kerajaan PN perlu mengutamakan faktor kesaksamaan selain
kekuatan sama rata kepada semua parti gabungan itu sendiri dalam pentadbiran
negara.
"Ini bagi mengelakkan usaha mana-mana pihak untuk melemahkan
parti lain dan membina kekuatan sendiri dalam gabungan PN," katanya.
Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima tamparan
baru apabila UMNO sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada
menyokong PN.
Parti berasaskan kaum Melayu itu memberi syarat baharu kepada
kerajaan PN sekiranya mereka mahu meneruskan kerjasama politik secara
perjanjian bertulis.
Parti itu juga menyebut bahawa kestabilan politik adalah penting
dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan dan sebarang keputusan adalah untuk
manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Anwar bertemu
dengan Yang di-Pertuan Agong dan mendakwa mempunyai sokongan lebih daripada 120
Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Anwar bagaimanapun meminta rakyat supaya bersabar dan memberi ruang
kepada Agong untuk memanggil ketua-ketua parti lain bagi mengesahkan perkara
tersebut sebelum membuat keputusan.