Ahmad Maslan akui 16 MP Umno ‘berpindah’

 

Ahmad Maslan akui 16 MP Umno ‘berpindah’

Bibit perpecahan dalam Umno dilihat semakin ketara apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Ahmad Maslan mengakui 16 daripada 39 Ahli Parlimen parti Melayu terbesar itu sudah ‘berpindah’.

Ahli Parlimen Pontian itu dalam ciapan di Twitter serta hantaran di Facebook dan Instagram malam ini turut menyenaraikan kedudukan kerajaan pada ini yang berjumlah 113 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu, beliau membahagikan Umno kepada dua iaitu Kumpulan A dan B.

Selain Umno, MCA mempunyai dua kerusi, diikuti MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.

Turut menganggotai kerajaan pada masa ini ialah GPS dengan 18 kerusi, PPBM (16), Pas (18) manakala STAR dan PBS masing-masing satu kerusi.

“Kerajaan sekarang ada 113 kerusi. Untuk ingatan kita semua.

“[Umno (B) 16 MP Umno Berpindah tapi asalnya bertanding atas tiket Umno. Umno (A) yang Asal/Asli].

“Umno/BN yang terbanyak kerusi,” tegas Ahmad sekali gus mengesahkan desas-desus tentang pergeseran dalam kalangan Umno.

Walau bagaimanapun rata-rata warganet menyuarakan rasa bosan dengan permainan politik yang tidak berkesudahan ketika jangkitan Covid-19 semakin mengganas.

Ada juga komentar yang menyarankan pemimpin Umno dan kerajaan pada masa ini lebih baik ke meja rundingan berbanding asyik bercakaran di media sosial.

Susulan pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti lebih 120 ahli Parlimen, Umno dilihat berpecah kepada dua blok.

Difahamkan, kem Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak bertembung dengan blok Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Setakat ini, dikatakan sekurang-kurangnya 24 daripada 39 ahli Parlimen Umno menyokong Ku Li sebagai calon Perdana Menteri sekali gus lebih banyak berbanding Anwar.