Dari FB wall A Kadir Jasin...
1. Kalau ikut statistik Kementerian Kesihatan ini, lojik
mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas Kuala Lumpur,
Selangor dan Putrajaya boleh dipertikaikan. Malah boleh dianggap tidak lojik.
2. Jangkitan semasa Covid-19 di tiga wilayah ini tidaklah tinggi
- 68 di Selangor, 12 Kuala Lumpur dan satu Putrajaya - berbanding 429 di Sabah,
133 Kedah dan 17 Pulau Pinang.
3. Apatah lagi jika diambil kira bilangan penduduk mereka. Kuala
Lumpur, Selangor dan Putrajaya mempunyai penduduk keseluruhan seramai 7.6 juta
berbanding Sabah 3.5 juta dan Kedah 2.07 juta.
4. Jadi dengan bilangan penduduk yang ramai dan kadar kepadatan
yang tinggi, rekod Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah cemerlang.
5. Ini belum diambil kira hakikat bahawa tiga wilayah ini juga
adalah nadi sosio-ekonomi negara yang melibatkan kadar interaksi manusia yang
lebih tinggi dan pesat.
6. Natijahnya, walaupun mempunyai bilangan penduduk yang ramai
dan tempo interaksi yang rancak, tiga wilayah ini masih mampu mengawal
penularan wabak ini.
7. Pihak berkuasa sepatutnya lebih memandang berat kegagalan
sistemik di Sabah yang melibatkan pendatang asing dan pilihan raya negeri, dan
di Kedah yang melibatkan penghuni penjara.
8. Jangkitan besar yang berlaku di penjara di Kedah sekarang
adalah contoh klasik kegagalan sistemik pelaksanaan SOP Covid-19. Tindakan
keras wajar dikenakan ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab.
9. Adalah amat baik dan wajar pihak berkuasa politik serta
pentadbiran mengkaji semula kewajaran mengenakan PKPB ke atas Kuala Lumpur,
Selangor dan Putrajaya sekarang.
Wallahuaklam. Terima kasih.
- AKJ