Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanjutkan tempoh moratorium
pinjaman bank yang berakhir pada September lalu.
Hal itu kerana situasi gelombang
kedua pandemik Covid 19 yang mungkin menyaksikan sekali lagi negara dikenakan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melumpuhkan ekonomi rakyat.
"Walaupun Menteri Kanan
Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengatakan kerajaan tidak bercadang
untuk menguatkuasakan semula PKP dalam pengumuman yang dibuat, namun rakyat
tetap bimbang berdasarkan kepada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Kedah serta Sabah yang menyaksikan
kenaikan ketara kes Covid-19.
"ABIM melihat kebimbangan ini
berasaskan kepada tekanan ekonomi yang dirasai rakyat semasa perlaksanaan PKP
lalu.
"Antara kesannya ialah ramai
yang hilang pekerjaan sepanjang PKP. Rakyat masih lagi bergelut untuk memulihkan
aktiviti mereka
"Justeru, sebagai langkah awal
menangani keresahan rakyat terbanyak, ABIM menggesa supaya kerajaan berunding
dengan pihak bank untuk dilanjutkan moratorium pinjaman bagi meredakan
keresahan rakyat," kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi,
penangguhan bayaran balik akan membolehkan rakyat 'bernafas' dalam suasana yang
amat menekan ketika ini.
Lanjuran moratorium juga, menurut
ABIM, akan memotivasi rakyat untuk memutuskan rantaian Covid 19 dengan tidak
melakukan aktiviti atau pekerjaan yang boleh memudahkan virus maut itu merebak.
"Menerusi pelanjutan moratorium
ini, setidaknya ia akan memberi masa untuk aktiviti ekonomi rakyat dipulihkan
semula di samping sesuai untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang
berleluasanya Covid-19 di negara ini.
"Tindakan moratorium seharusnya
dijadikan imbalan kepada pengorbanan yang ditunjukkan rakyat yang sedaya upaya
mematuhi SOP ditetapkan walaupun ia memberikan kesan kepada mata pencarian
mereka dan aktiviti sosio-ekonomi harian," kata kenyataan itu lagi.
Pandemik Covid 19 gelombang kedua dikhuatiri akan menyebabkan
banyak negeri terjejas sekiranya kerajaan melaksanakan PKPD. Biar pun tidak
seburuk PKP namun PKPD dijangka akan menjejaskan ekonomi di beberapa negeri
yang mana jumlah kes Covid tinggi.