13 OKTOBER DIHARAP MENJADI SELASA YANG BERCAHAYA

 

Nampaknya usaha Anwar Ibrahim untuk cuba memulihkan mandat rakyat terus berdepan cabaran yang getir serta bukan sedikit.

Hari ini beliau dijadual mengadap Yang Dipertuan Agong bagi menepati janji untuk mempersembahkan jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang dimilikinya bagi membentuk sebuah kerajaan baru.

Tetapi, berikutan tersebarnya senarai palsu Ahli-Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya, beberapa daripada wakil rakyat itu telah tampil menafikan dan membuat laporan polis.

Sehubungan itu, Anwar dikehendaki hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan.

Sebagaimana disebut Anwar dalam sidang media pada 23 September lalu, senarai Ahli Parlimen yang setuju memberi sokongan kepadanya akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong terlebih dahulu dan tidak sesekali didedahkan kepada umum.

Bermakna, selagi belum ada majlis mengadap, senarai lain yang tersebar di media sosial adalah palsu dan rekaan semata-mata.

Senarai asli hanya ada pada Anwar yang akan dipersembahkannya kepada Agong dalam majlis mengadap nanti.

Soalnya, kenapa laporan polis dibuat terhadap Anwar dan bukan kepada penyebar senarai palsu itu?

Mengapa juga Anwar yang perlu diambil keterangan dan bukan mereka yang menyebarkan senarai palsu itu?

Apa pun, inilah cabaran dan dugaan untuk Anwar namanya.

Yang kedua, bermula jam 12.01 malam ini juga berkuatkuasanya PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya sehingga 27 Oktober depan berikutan menularnya semula Covid-19.

Ini bererti, banyak pergerakan dan aktiviti jadi terhalang dengan sendirinya dalam tempoh dua minggu akan datang seperti majlis angkat sumpah di Istana Negara sekiranya Anwar berjaya membuktikan sokongan yang mencukupi kepada Agong.

Barangkali majlis itu terpaksa ditunda sehingga berakhirnya PKPB pada 27 Oktober nanti.

Ini pun cabaran dan dugaan untuk Anwar juga namanya.

Sebagai pemimpin yang telah dinamakan dan disepati sebagai calon Perdana Menteri selepas Tun Mahathir Mohamad, usaha Anwar untuk mengembalikan mandat rakyat adalah suatu perjuangan yang murni.

Sebab itu, di sebalik adanya pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan yang perlu dihadapi Anwar, keterujaan rakyat menanti perkhabaran baik hasil majlis mengadap Agong hari ini tidak berkurang walau sedikit pun.

Rakyat tetap mengharapkan ada sinar kejayaan di hari Selasa ini, malah tidak kurang yang menitipkan doa dan mengadakan solat hajat agar segala yang diusahakan akan membuahkan kejayaan.

Bagi rakyat, harapan mereka semoga Selasa hari ini akan menjadi Selasa yang bercahaya yang mampu menerangi bumi Malaysia dengan perubahan, sekaligus mandat yang dikhianati sebelum ini berjaya dikembalikan semula.

Apatah lagi, tarikh 13 Oktober hari ini adalah bersamaan dengan tarikh Anwar mencapai kejayaan cemerlang dalam PRK Port Dickson yang diadakan pada 13 Oktober 2018 lalu.

Harap-harapnya, kebetulan persamaan tarikh yang ditentukan Tuhan ini adalah merupakan tanda kebaikan yang diidam-idamkan di sebalik dugaan serta cabaran yang silih berganti mendatang, namun tetap sabar dilalui Anwar. 

(Shahbudindotcom 13/10/2020)