PRK Slim bukan kayu ukur, penyatuan Melayu sementara – Ilham Centre
Ilham Centre, badan penyelidik politik peringkat nasional paling berprestij dengan ramalan keputusan pilihan raya yang sentiasa tepat mengejutkan umum apabila menjangkakan penyatuan Melayu dalam gabungan pemerintah bersifat sementara.
Felo penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, penyatuan Melayu dan ummah itu akan teruji ketika Muafakat Nasional (MN) berunding untuk agihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ketika ini retorik penyatuan Melayu masih menjadi ‘lauk utama’ di meja makan pengundi. Pada masa sama bila realitinya, pengagihan kuasa dan kerusi, siapa ketua negeri, bahagian dan pusat, itu akan beri cabaran.
“Ini badai yang boleh melanda dan persoalan ini belum boleh diselesaikan,” katanya dipetik pada program ‘Wacana Pasca PRK Slim dari Slim ke Borneo: Menuju Pilihan Raya Umum ke-15’ anjuran Ilham Centre dan Universiti Malaya
Hadir sama, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar; Ketua penyelidiknya, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim dan Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi serta wartawan, Chan Kok Leong.
Mengulas lanjut, Hamidin berkata, kecelaruan akan bertambah jelas menjelang pilihan raya, manakala senario paling buruk akan dapat dilihat apabila berlaku pertembungan tiga penjuru antara parti komponen termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baru menganggotai MN.
Selain itu, beliau berkata, akan timbul kecelaruan memandangkan satu lagi gabungan iaitu Perikatan Nasional (PN) sudah pun dibentuk di antara parti yang kini membentuk kerajaan.
“Kecelaruan akan bertambah bila makin hampir menjelang pilihan raya umum terutamanya dari sudut struktur parti.
“Bagaimana MN dan PN akan didaftarkan, logo mana mereka nak pakai atau balik semula kepada tiga penjuru. Ini yang akan mencorakkan kerjasama,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa kemenangan besar BN pada PRK Slim tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk menentukan sokongan dalam PRU15.