PN SABAH MULA BERGADUH BEREBUT KERUSI. KEDUDUKAN MUHYIDDIN TERANCAM


Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak teragak-agak untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) sekiranya tidak mendapat sekurang-kurangnya 15 kerusi dalam PRN Sabah, 26 September ini.
Presidennya, Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu mengambil kira kehendak rakyat yang mahu parti tempatan menerajui pentadbiran negeri.
“Kami yakin STAR boleh menang banyak kerusi dalam PRN kali ini dan kami bersedia untuk bertanding antara 15 hingga 18 kerusi jika diberi peluang.
“Tetapi, sekiranya STAR hanya diberi enam atau lapan kerusi, lebih baik kami bertanding sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey meminta agar keputusan agihan kerusi yang dilakukan perlu diagih sama rata dengan mengambil kira sentimen rakyat di Sabah.
“Sentimen yang ada ketika ini ialah parti politik dari Semenanjung mendominasi politik Sabah, perkara itu tidak perlu berulang kerana ini yang rakyat tidak mahu.
“Sebab itu pembahagian kerusi perlu diagih secara adil dan sama rata bagi menghormati sentimen kenegerian Sabah.
“Rakyat juga mahu lihat kerusi Barisan Nasional (BN) kurang atau seimbang untuk beri penghormatan kepada parti tempatan,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, STAR memiliki satu kerusi Parlimen iaitu Dr. Jeffrey sendiri.
Dalam keadaan sokongan Muhyiddin di Parlimen hanya 111-109, tuntutan STAR untuk diberi antara 15 hingga 18 kerusi dalam PRN Sabah adalah suatu perkara yang serius.
Jika tuntutan itu tidak dipenuhi dan STAR keluar daripada PN, sokongan yang tinggal buat Muhyiddin di Parlimen akan menjadi 110 kerusi.
Dalam hal ini, apakah PN sedia memenuhi tuntutan STAR demi untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri?
Itu baru tuntutan STAR yang mahu diberi 15 hingga 18 kerusi, bagaimana pula dengan PBS dan PBRS, dua lagi parti tempatan Sabah?
Berapa pula kerusi yang mereka tuntut?
Untuk makluman, PBS dan PBRS juga masing-masing mempunyai satu kerusi Parlimen yang dimenangi dalam PRU14 lalu.
Atau, sementara PN belum tentu boleh menang di PRN Sabah ini, Muhyiddin akan tumbang lebih dulu?
Barangkali ini yang memang dikehendaki UMNO? (Shahbudindotcom 08/09/2020)