Penerangan mesti pastikan rakyat faham perjuangan KEADILAN





Penerangan yang berjaya mestilah berupaya meyakinkan rakyat apakah matlamat dan dasar perjuangan sesuatu parti ketika masuk pilihan raya.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan kepada jentera penerangan KEADILAN Sabah pagi tadi menekankan agar pemimpin yang ingin berkempen membuat persediaan rapi sebelum berucap kepada rakyat.

Menurutnya, kalah atau menang KEADILAN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini amat bergantung kepada keberkesanan jentera penerangan.

"Bila saudara Shamsul Iskandar (Ketua Penerangan KEADILAN) mengumumkan rencana untuk mengumpulkan semua tenaga penerangan, saya anggap ini sesuatu yang amat strategik dalam sesuatu pilihan raya.

"Orang menyokong atau membantah kita berdasarkan keupayaan menerima mesej, maklumat atau penerangan dari parti

"Orang yakin kerana penerangan jelas dengan apa yang parti bawa. Orang ramai ragui kita kerana penerangan itu tidak jelas atau mengelirukan.

"Orang menyampah dengan kita kalau melihat penerangan membosankan atau tidak jelas

"Di Sabah, isu nasional tidak penting. kalau terang isu 1MDB dalam 2 minit boleh, lebih jangan. Orang Sabah akan memerhati isu tempatan, jadi kena faham khalayak.

"Yang perlu kita fahamkan ialah kemerdekaan Sabah, juga kemiskinan Sabah. Kenapa setelah merdeka begitu lama hasil negeri paling tinggi. Minyak dan gas, balak catat keuntungan yang tinggi (namun rakyat miskin).

"Tahun 2015 misalnya berapa bilion keuntungan hasil, siapa yang angkut. Rakyat dapat berapa? Beberapa ratus ringgit sebelum pilihan raya," katanya ketika merasmikan Majlis Jelajah Penerangan Negeri Sabah di The Palace Hotel, pagi tadi.

Selain itu, Anwar juga menekankan perlunya pengundi tahu matlamat politik yang diperjuangkan KEADILAN iaitu menekankan kesaksamaan antara kaum.

Beliau juga mengingatkan bahawa KEADILAN merupakan antara parti terbesar di Sabah. Siri program parti yang diadakan dalam beberapa hari ini agak besar dan belum ada parti yang mengadakan perjumpaan besar di Sabah.

Di samping, seruan agar jentera penerangan berkempen habis-habisan. Turun dalam PRN untuk mendapat kemenangan.